Naik taraf HKL jadi pusat rujukan nasional bertaraf antarabangsa

Iklan
Perancangan dan penambahbaikan tersebut telah dipersetujui serta diluluskan di bawah RMK12. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menaiktaraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk terus menjadi pusat rujukan nasional yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perancangan dan penambahbaikan tersebut telah dipersetujui serta diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Iklan
Iklan

"Kita juga ingin memastikan bahawa segala perancangan pembangunan akan menjadikan HKL bersedia untuk 150 tahun yang akan datang.

"Sebab itu, perancangan mesti bermula dari sekarang dengan mengambil kira semua pembangunan dan perancangan yang telah pun dijalankan. Sebagai contoh, projek semasa yang sedang dijalankan ataupun yang telah diluluskan adalah menaiktaraf Jabatan Kecemasan HKL dan juga pembinaan Institut Perubatan Forensik,” katanya pada sidang akhbar di HKL pada Khamis.

Iklan

Jelas Khairy, KKM juga telah memohon kepada Unit Perancangan Ekonomi dan Perbendaharaan agar mempertimbangkan pada RMK12 untuk mengubahsuai dan menaik taraf Institut Pediatrik sedia ada.

Beliau berkata, ia kerana keperluan bagi perubatan ibu dan kanak-kanak menunjukkan permintaan yang tinggi.

Iklan

Selain itu, katanya, KKM mencadangkan untuk mengubah suai Bangunan Hospital Bersalin yang lama dan akan memohon untuk menaiktaraf pembinaan baharu Bangunan Wisma Rekod.

"Ia antara projek yang sudah dicadangkan kepada Unit Perancangan Ekonomi dan harap dapat diluluskan dalam RMK12 ini supaya HKL terus jadi pusat rujukan nasional.

"Saya juga akan melihat kepada pembangunan yang lebih komprehensif selain projek pembangunan yang disebutkan tadi agar peranan HKL sebagai rujukan dapat dikekalkan dengan meningkatkan lagi penyelidikan klinikal,” katanya.