SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui bahawa tiada kaedah untuk menghalang individu tidak menerima vaksin merentas negeri apabila dibenarkan.
Menurutnya, ini kerana tiada lagi sekatan jalan raya dikenakan apabila kelonggaran tersebut diberikan.
"Kita telah kaji untuk laksanakan mereka yang tidak menerima vaksin untuk buat ujian kendiri. Namun demikian, tidak ada cara untuk kuatkuasakan cadangan ini. Kita juga tidak mahu adakan sekatan jalan raya dan semak setiap orang yang keluar.
"Jika buat begitu, saya rasa rakyat akan lebih marah kalau berlaku kesesakan jalan memandangkan mereka sudah lama tunggu hendak balik kampung.
"Ini bukan macam gelembung Langkawi. Yang itu jumlah tidak ramai dan dapat dibuat di KLIA. Selepas ini jalan keluar masuk dari semua negeri dibuka dan sangat mustahil untuk kita semak setiap orang yang keluar masuk,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti tidak membenarkan individu tidak lengkap vaksinasi untuk makan di premis akan terus digunapakai.
"Jadi walaupun mereka boleh rentas negeri, tetapi tidak dibenarkan makan di kedai. Ini kerana tidak ada cara untuk mengawal pergerakan yang belum divaksinasi.
"Ini sahaja cara yang kita boleh kuatkuasakan. Kita tidak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri ini sebab ramai sudah tunggu kebebasan hendak balik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan setiap individu yang pulang ke kampung untuk melakukan ujian saringan kendiri agar tidak memberikan kesan kepada orang lain.
"Kalau hendak betul-betul berhati-hati dan pastikan kita tidak bawa virus balik, buat ujian kendiri walaupun harga belum turun. Saya rasa harga sekarang berpatutan.
"Saya harap nasihat ini adalah nasihat yang terbaik untuk kita pastikan diri kita dan ahli keluarga selamat apabila dibenarkan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.
Mengulas mengenai harga kit ujian kendiri Covid-19, Khairy berkata, beliau telah melakukan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Jelasnya, penurunan harga kit ujian kendiri Covid-19 akan diumumkan nanti bagi memberi peluang kepada pembekal untuk menjual stok sedia ada.
"Sebab kali terakhir yang kita turunkan harga, mereka ada beri pandangan tidak cukup masa untuk habiskan stok yang sedia ada.
"Jadi saya telah bincang dan kita pun ada harga yang disarankan supaya menjadi harga siling, kita rasa ini adil kepada pengguna dan pembekal. Cuma kita akan umumkan nanti sebab ada tempoh peralihan sedikit,” ujarnya.