ATAS beberapa faktor, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak dapat melihat masa depannya untuk terus kekal bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim depan.
Pelumba NTS RW Racing GP itu berkata, salah satu faktor utama adalah kekangan kewangan sehingga dia perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi tuntutan pasukan.
Menurutnya, perbelanjaan berskala besar yang dikeluarkan seakan-akan tidak berbaloi sekiranya dia tidak mendapat kepuasan dari aspek prestasi jentera, sekali gus menjejaskan persembahannya di atas litar.
"Saya rasa ini tahun terakhir saya dalam Kejuaraan Dunia sebab saya tak boleh nak teruskan. Saya tahu ramai peminat mengharapkan saya kekal tetapi saya terpaksa fikir untuk masa depan sendiri, mungkin saya boleh buat benda lain (selepas ini).
"Saya tak nak teruskan mungkin sebab faktor pasukan Eropah memerlukan kita bawa duit untuk masuk dan saya bukan tak minat cara macam itu. Tetapi saya yakin yang saya mampu beri saingan, jadi kenapa perlu bawa duit masuk untuk pasukan.
"Jika tiada benda (hasil) saya dapat, contohnya prestasi yang saya inginkan tu saya tak dapat, jadi saya rugi macam itu saja,” katanya dalam klip video kepada wartawan tempatan pada Khamis.
Hafizh Syahrin berkata, dia masih belum memikirkan masa depannya selepas ini, namun tidak menolak kemungkinan beraksi di pentas lain selain MotoGP seperti Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) atau Kejohanan Superbike Dunia (WSBK).
"Saya tak berani buat keputusan sekarang. Bila tiba masanya saya akan bagi tahu apa yang akan saya buat," katanya yang pernah menggegar saingan MotoGP selama dua musim sebelum ini.
Baru-baru ini, Hafizh Syahrin memberi bayangan bersedia untuk menamatkan perjalanan kariernya selama lapan tahun dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia, menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan menggamit perjalanan kariernya sejak tahun 2014.
"Kalau tanya peluang macam mana yang saya inginkan, jika ada pasukan yang berminat dengan saya, saya perlukan casis macam saya gunakan empat tahun lalu iaitu Kalex. Selepas itu cuba saya dalam tempoh setahun dan kalau saya tetap tak bagus, saya sedia undur diri,” ujarnya.
Selepas mengharungi 15 perlumbaan Moto2 musim ini, Hafizh Syahrin yang terkenal dengan panggilan El Pescao berada di tangga ke-28 dengan mengumpul lapan mata.