KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Khamis menegaskan bahawa hak milik tanah yang turut menempatkan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan telah diperoleh secara sah mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Dalam penjelasan bertulis sebagai menjawab pertanyaan Bernama mengenai perkembangan berhubung hasrat kerajaan peralihan Sudan untuk merampas tanah tersebut, Petronas berkata, ia kini bekerjasama dengan Kementerian Luar Malaysia bagi menggunakan semua saluran diplomatik dengan pihak berkuasa Sudan dalam usaha meleraikan isu berkaitan.
"Oleh kerana tiada sebarang perkembangan positif setakat ini, Petronas telah bertindak memfailkan permohonan arbitrasi (timbang tara) di Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara tersebut.
"Petronas tidak dapat mengulas lanjut mengenainya memandangkan proses undang-undang sudah pun diambil,” kata syarikat minyak dan gas negara itu.
Menurut laporan media Daily Sabah pada 5 Oktober lepas, kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas aset-aset milik Petronas yang didakwa diperoleh secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir.
Susulan penggulingan al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang serta membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset-aset yang didakwa telah diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Laporan itu yang memetik sumber-sumber berkata, setakat ini tiada sebarang maklumat dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia yang melibatkan dakwaan salah laku rasuah oleh a-Bashir berkaitan aktiviti-aktiviti di Malaysia.
Media itu melaporkan, tanah yang menempatkan Kompleks Petronas Sudan (PSC) telah diperoleh serta didaftarkan di bawah Nada Properties Co Ltd (NPCL) yang juga anak syarikat Petronas di Sudan.
Bagaimanapun, Sudan telah bertindak memindahkan pemilikan NPCL kepada Kementerian Kewangan negara tersebut dan 'menafikan hak Petronas sebagai pemilik sah syarikat itu',” kata laporan itu.
Malah, menurut Daily Sabah, pelabur-pelabur asing lain di Sudan termasuk dari Pakistan, Qatar dan Turki turut mengalami keadaan sama.
Petronas telah beroperasi di Sudan selama lebih 20 tahun serta turut membantu negara berkenaan untuk muncul sebagai negara pengeksport minyak. - Bernama