MDHS sita kilang kitar semula plastik tanpa lesen

Iklan
Sebuah jentera forklift disita dan dibawa ke stor simpanan MDHS di Kuala Kubu Bharu untuk proses simpanan serta tindakan selanjutnya.

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita sebuah kilang kitar semula plastik di Kawasan Perindustrian Kamunting, Bukit Sentosa di sini berikutan beroperasi tanpa lesen pada Rabu.

Bahagian Korporatnya dalam satu kenyataannya memaklumkan, operasi pada jam 10 pagi itu dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan polis.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, semasa tiba di lokasi, pintu 'roller shutter' premis terbabit berada dalam keadaan berkunci manakala pintu belakang ditutup dengan timbunan kayu palet.

"Anggota operasi telah meminta bantuan daripada salah seorang pekerja kilang berhampiran untuk mengalihkan longgokan kayu palet dan membuka pintu premis terbabit menggunakan forklift," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Kenyataan itu memberitahu, sejurus berjaya memasuki premis itu, didapati tiada pekerja di dalamnya.

Bagaimanapun, jelas kenyataan itu, anggota operasi berjaya menemui tiga jentera forklift, peralatan membuat plastik resin, beberapa longgokan bahan mentah (plastik) yang diletakkan di dalam beg besar dan tiga palet plastik resin yang telah siap.

Iklan

"Berdasarkan pemeriksaan mendapati premis ini masih meneruskan operasinya berdasarkan susun atur peralatan, taburan sisa bahan mentah di atas lantai yang digunakan untuk menghasilkan produk plastik resin dan juga kesan bau plastik yang masih baharu di dalam kilang terbabit," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, beberapa barang boleh alih yang terdapat di dalam premis terbabit telah disita dan dibawa ke stor simpanan MDHS di Kuala Kubu Bharu untuk proses simpanan serta tindakan selanjutnya.

"Tindakan sitaan ini telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dan proses sitaan yang dilakukan merupakan tindakan susulan kepada pemantauan yang telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa MDHS pada 27 September lalu.

"Semasa pemeriksaan di kilang itu sebelum ini mendapati terdapat aktiviti kitar semula plastik (membuat plastik resin) seperti biasa," kata kenyatan itu.