SUNGAI PETANI - Kira-kira 1,000 penduduk dari kawasan perumahan Banglo Bukit Bayu dan kawasan sekitar yang berdepan masalah air sejak lebih tujuh bulan lalu mendesak agar isu itu diselesaikan segera.
Seorang penduduk yang ditemui, Mokhtar Kamal Muslimina, 60 mendakwa, gangguan bekalan air agak meruncing sejak awal tahun lalu dan sejak daripada itu, bekalan air sering terputus terutamanya pada waktu malam.
Dakwanya, penduduk hanya akan menerima bekalan air bermula jam 8 pagi sehingga jam 9 malam sahaja di mana bekalan itu diterima setelah air dipam secara manual daripada tangki air.
"Bagi memastikan simpanan air mencukupi, penduduk terpaksa membeli tangki tambahan yang memerlukan kos tinggi semata-mata mahukan bekalan air tersedia bagi tujuan kecemasan," katanya.
Bagi Haris Musa, 52 pula berkata, gangguan bekalan air yang kerap berlaku bukan sahaja menyukarkan aktiviti harian namun mengundang risiko kerosakan terhadap pemasangan penapis air minuman selain turut mendatangkan bahaya.
Menurutnya, air yang disalurkan semula selepas bekalan terputus itu juga sering kotor dan keruh menjadikan pemasangan penapis air, satu keperluan buat penduduk.
"Selalunya malam tak ada air, bila paip air dibuka pada waktu pagi, airnya menjadi keruh, jadi kita kena pasang penapis air. Bagaimanapun bila waktu malam pula, bekalan air tiba-tiba terputus menyebabkan penapis air tak dapat berfungsi dengan baik dan mengundang risiko lain termasuk bahaya kepada pengguna," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Banglo Bukit Bayu (PPBBB) Osman Bahari berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk tindakan lanjut.
"Kami menggesa agar isu ini tidak berpanjangan serta mengharapkan penyelesaian segera dapat dilakukan demi kesejahteraan penduduk.
"Kami difahamkan kira-kira 600 buah rumah berdekatan iaitu di Taman Seri Bayu 2, Sungai Lalang turut berdepan masalah sama menjadikan keseluruhan kawasan terjejas merangkumi lebih kurang 3,000 penduduk,"dakwanya.
Setiausaha PPBBB, Rahman Ahmad berkata, perkara itu telah dipanjangkan kepada beberapa pihak setelah penduduk mengadu sudah tidak tahan dan mahukan tindakan segera dapat diambil.
"Sebelum ini kita telah menerima kunjungan wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri dengan harapan memberi peluang kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagaimanapun setelah lebih tujuh bulan, keadaannya masih berlarutan,"jelasnya.
Dalam pada itu, Bendahari PPBBB, Bakhori Salleh berkata, isu air telah menjejaskan rutin harian penduduk yang terjejas termasuk menyukarkan urusan solat dan ibadat lain serta kebersihan diri dan tempat tinggal.
"Kami dah tak sanggup dengan keadaan ini setiap hari, harap pihak berkenaan tidak lepas tangan dengan masalah yang kami hadapi," jelasnya.
Sinar Harian telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Sada dan sedang menunggu maklum balas berkaitan.