KOTA BHARU - Seramai 200 pesawah di bawah Koperasi Padi Wangi Kelantan Berhad kerugian akibat masalah pemasaran susulan tiada pembeli padi sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Koperasi Padi Wangi Kelantan Berhad, Zailan Awang berkata, sebelum ini hasil tanaman padi mereka dibeli oleh sebuah syarikat di Kedah namun sejak 2019, pembelian dihentikan dan pesawah terpaksa mencari pembeli sendiri.
"Sebelum ini kami tanam padi dan sudah ada pembeli tetapi sekarang ini, tiada siapa mahu beli hasil padi kami. Jadi, pesawah buntu memikirkan cara untuk memasarkan padi mereka yang jumlahnya semakin bertambah.
"Sebelum ini padi wangi berkenaan boleh dijual pada harga RM1,500 satu tan namun kini hanya boleh dijual dengan harga RM1,200 satu tan, kami rugi RM300," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi penanaman padi di Kampung Kadok, di sini pada Khamis.
Sementara itu, Setiausaha koperasi berkenaan, Mohd Zaidi Mohamad berkata, untuk musim ini sahaja, pihaknya kerugian hampir RM100,000 melibatkan tanah seluas 40 hektar akibat permasalahan pasaran itu.
Dakwa Mohd Zaidi, luahan mereka sebelum ini kepada agensi yang berkenaan seperti tidak didengari menyebabkan masalah itu masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Seorang pesawah, Mohd Fadzli Mamat, 44, berkata, dia dan beberapa rakannya yang lain terpaksa meneruskan penanaman padi dan menuai memandangkan ia satu-satunya sumber rezeki mereka.
"Saya terpaksa terus tanam padi sebab ini sumber rezeki. Saya dan pesawah lain memang rasa pelik apabila masalah ini tidak boleh diselesaikan oleh pihak berwajib," katanya.
Che Noh Che Ismail, 65, pula berkata, dia tertanya-tanya mengenai fungsi sebenar pembinaan kilang beras padi wangi di Jeram Pasu yang didakwanya tidak beroperasi sebagaimana sepatutnya.
"Tidak tahu manfaat bina kilang itu kalau nasib kami masih sama seperti ini. Buat masa sekarang, kami tidak tahu apa yang boleh dilakukan dengan kilang itu.
"Kami harap kerajaan teliti hal ini kerana saya berpandangan pembinaan kilang tersebut bukan guna peruntukan kecil. Jadi, gunakanlah sebaik mungkin untuk membantu pesawah seperti kami ini," luahnya.
Sementara itu, seorang lagi pesawah, Mohd Sukri Yakub, 39, berkata, pihak yang sepatutnya haruslah turun padang dan memantau masalah dihadapi oleh pesawah.
"Penting untuk pihak agensi bantu sebab kami tidak mampu lagi untuk memasarkan sendiri semua hasil padi. Memasarkan hasil padi bukan kemahiran kami kerana kami hanya tahu menghasilkan padi wangi yang berkualiti untuk rakyat.
"Saya berpendapat kerajaan juga boleh mengalami kerugian jika terus mengimport beras dari negara luar sedangkan beras berkualiti ada di Malaysia. Perkara ini fakta, bukan saya cakap kosong. Jadi, saya minta perkara ini diteliti" katanya.