TAWAU - Tindakan enam individu termasuk empat lelaki warga Filipina menceroboh serta mencuri 127 batang kayu bakau dari Hutan Simpan Sungai Merotai, dekat sini, membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, yang menjalankan rondaan di kawasan sekitar, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berumur antara 15 hingga 53 tahun itu ditahan ketika sedang memuat naik kayu ke dalam dua perahu pada pukul 5.40 petang.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan awal mendapati empat lelaki warga Filipina itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua individu lagi merupakan warga tempatan yang juga sepasang suami isteri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, kedua-dua juragan perahu turut gagal menunjukkan permit kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk membawa keluar hasil hutan.
Mohamad Pajeri berkata, kesemua barang rampasan termasuk bot dan 127 batang kayu dianggarkan bernilai RM12,555 itu ditunda ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 30(1)(g) Enakmen Perhutanan 1963. - Bernama