SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh berpandangan bahawa krisis politik Melaka boleh diatasi jika pembangkang menghormati Memorandum Persefahaman (MoU).
Ujar beliau, memandangkan MoU telah ditandatangani, pihak kerajaan dan pembangkang boleh berbincang bersama seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk perkara tersebut.
"Pihak kerajaan dan pembangkang boleh duduk (bersama), sebab kita dah meterai (MoU).
"Jadi kita (nyatakan pendirian) tak nak terima orang yang melompat ini, sebab mereka ini benar-benar dah menyalahi MoU yang ditandatangani.
"Jadi kalaulah waimah empat orang (Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN yang tarik sokongan) ini yang melompat (menarik sokongan) tetapi pihak pembangkang ketika ini masih lagi menghormati MoU yang telah ditandatangani dan dipersetujui, saya percaya krisis ini tidak berlanjutan dengan lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-296 yang bertajuk Jebat Vs Tuah: Pasca Pandemik yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis adalah penganalisis politik, Mujibu Abd Muis; Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Alor Gajah, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof manakala Ismail Adnan sebagai moderator.