SEPANG - Kes penipuan atau pemerdayaan membabitkan jenayah kolar putih di daerah ini mencecah kerugian berjumlah RM2.32 juta sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, berdasarkan laporan statistik sejak Januari tahun lalu sehingga Februari tahun ini, sebanyak 213 kes dicatatkan.
"Modus operandi kes yang disiasat ini adalah penipuan jual beli online, pinjaman tidak wujud, macau scam (penyamaran sebagai pihak berkuasa melalui panggilam telefon) dan African Scam.
"Sepanjang tempoh ini, seramai 329 suspek warga tempatan telah diberkas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.
Tegasnya, kebanyakan suspek yang ditahan ini adalah melibatkan pemilik akaun atau keldai akaun yang juga merupakan penyumbang terbesar kes.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya menyerahkan nombor pin atau sebarang maklumat perbankan kepada sesiapa sahaja untuk kegunaan tertentu.
Dalam perkembangan lain, dalam usaha mengawal indeks jenayah, IPD Sepang telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan antaranya Ops Cegah Jenayah, rondaan berkereta, rondaan bermotosikal, Ops Bersepadu, pegawai perhubungan sekolah dan program Oscar.
Tambahnya, kadar indeks jenayah yang direkodkan di daerah Sepang menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus secara keseluruhan.
Menurutnya, jenayah kekerasan menurun sebanyak 8.33 peratus manakala jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan 11.1 peratus berbanding tahun lepas.
Selain itu, beliau turut menegaskan dan berharap orang ramai tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di hadapan Hospital Serdang bagi mengelak kesesakan serta halangan lalu lintas.
"Sebanyak 129 operasi dijalankam sepanjang tahun lalu dengan 6,595 saman telah dikeluarkan," katanya.