Musim tengkujuh: Terserah kepada pengusaha pulau peranginan

Iklan
Arifin (kiri) mendengar taklimat Pengerusi Kelab Radio Amatur Komunikasi Bencana-Squad 99 Terengganu, Amrun (tengah).

MARANG - Kerajaan negeri tidak pernah menghalang atau mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan di negeri ini pada musim tengkujuh.

Keputusan itu juga diserahkan sepenuhnya kepada pemain industri berkenaan sama ada mahu meneruskan operasi atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penutupan operasi di hotel, resort dan chalet di pulau sebelum ini merupakan inisiatif pemain industri terbabit dan bukan arahan kerajaan negeri.

"Tiada istilah kerajaan tutup pulau. Apabila tiba musim tengkujuh, air laut bergelora dan hujan lebat menyebabkan kedatangan pelancong berkurangan dalam tempoh itu," katanya ketika ditemui pada Program Pemasangan Peralatan Komunikasi Bencana Daerah Dungun di Balai raya Kampung Kepong di sini, pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun menurut Ariffin, ada masanya pemain industri akan melakukan konservasi terhadap batu karang dan mengehadkan pengunjung.

"Langkah terbaik ialah menurut perkhidmatan untuk penjimatan (kos operasi) chalet mereka tetapi tiada tarikh khusus sebenarnya dan tiada halangan (beroperasi di musim tengkujuh), kalau tidak ada masalah boleh terus," katanya

Iklan

Tambah beliau, pemain industri yang ingin meneruskan operasi pada musim tengkujuh diingatkan mengutamakan keselamatan serta menekankan prosedur operasi standard (SOP) selain tidak memikirkan keuntungan semata-mata walaupun ada permintaan daripada pelancong.

Kebiasaannya hotel, resort dan chalet di pulau peranginan di Terengganu menghentikan operasi dan pakej tempahan bermula Oktober hingga Februari sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Penutupan itu dibuat atas faktor keselamatan pelancong terutama ketidaktentuan keadaan cuaca dan laut bergelora.

"Sepanjang tempoh itu, mereka akan membaik pulih kemudahan di penginapan masing-masing," katanya.