KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bermesyuarat untuk menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengumumkan keluar parti.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, perbincangan tindakan berkaitan surat taat setia yang ditandatangani ADUN Warisan sebelum ini belum dibincangkan.
Iklan
Iklan
"Masih terlalu awal untuk saya cakap mengenainya. Kita bermesyuarat dulu, itu keputusan parti dan bukan keputusan saya," katanya pada Jumaat ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan dikenakan parti berkaitan surat taat setia yang ditandatangani oleh ADUN Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Berhubung surat pemakluman bekas Ketua Penerangan Warisan itu yang meninggalkan dan melepaskan semua jawatannya dalam parti, Loretto berkata, ia sudah tidak penting sebaik pengumuman telah dibuat.
"Mungkin dia ada hubungi Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) secara personel tetapi surat peletakan jawatan sudah tidak penting. Bila dia sudah umum, ikut perlembagaan maksudnya dia keluar parti," katanya.
Warisan sebelum ini dikatakan telah membuat surat akuan taat setia kepada semua ADUN Warisan untuk ditandatangani sebelum mereka menjadi calon pada PRN Sabah yang lalu.
Warisan turut menyatakan akan mengambil tindakan kepada ADUN yang keluar daripada parti supaya meletakkan jawatan sebagai ADUN dan mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Warisan.