TIADA siapa pun yang mahu perkahwinan berakhir dengan perceraian. Namun, andai jalan itu merupakan penyelesaian terakhir, tiada masalah berbuat demikian meskipun perceraian sesuatu yang tidak disukai dalam Islam.
Itu yang dirasakan Farah (bukan nama sebenar), berusia lewat 20-an. Bukan tidak mahu mempertahankan rumah tangga yang baru dibina selama tiga bulan, namun keadaan memaksanya bertindak sebegitu.
Rumah tangganya musnah gara-gara angkara orang ketiga!
Farah berkahwin dengan Shamsul (bukan nama sebenar), 33, yang merupakan teman sepejabatnya.
Memang dia pilihan saya dan kami bercinta tidaklah seperti orang kata 'bagai nak rak'. Saya mengenali Shamsul seadanya, sama seperti rakan-rakan sepejabat lain.
"Perkenalan kami terlalu singkat, mungkin disebabkan kerana kami sepejabat. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang kami," katanya.
Farah menyangka, kehidupannya akan lebih bahagia selepas berkahwin dengan pilihan sendiri, sedikit pun dia tidak terfikir akan melalui penderitaan.
"Kami berkahwin pada 2017 dan perkahwinan kami begitu meriah disambut keluarga, saudara mara, kenalan dan jiran tetangga," ceritanya.
Namun entah di mana silapnya, usai majlis perkahwinan mereka, bayangan Shamsul langsung tidak kelihatan. Farah begitu tertekan kerana dia sendiri tidak tahu keberadaan suaminya, ditambah pula keluarga turut menyoalnya bermacam-macam perkara.
"Saya sendiri pun tertanya-tanya di mana suami saya. Saya sendiri keliru masa itu. Mana ada pengantin baharu yang tinggal seorang diri selepas diijabkabulkan."Melihat bilik tidur kami yang dihias cantik, saya makin tertekan ditinggalkan keseorangan. Saya langsung tidak dapat hubungi suami sendiri. Saya buntu tidak tahu hendak buat apa," ujarnya pilu.
Tidak seperti pasangan pengantin baharu lain yang memadu kasih di awal perkahwinan, Farah pula terpaksa hidup bersendirian. Mujur mereka berkerja di pejabat yang sama, sedikit sebanyak Farah tahu perkembangan diri Shamsul, termasuklah berita kecurangannya.
"Saya dapat tahu suami ada hubungan terlarang dengan perempuan lain.
"Isteri mana yang boleh terima bila suami sendiri curang dengan perempuan lain. Apatah lagi kami ini pengantin baharu," ceritanya.
Sejak itu, mereka seringkali bergaduh dan Farid kerap marah-marah sehinggalah dia melafazkan talak; 'I cerai you dengan talak satu'.
"Perkahwinan kami hanya mampu bertahan selama tiga bulan dan dia langsung tidak pernah menyentuh saya sepanjang kami berkahwin.
"Masa itu, sedih, kecewa, malu, semua saya rasa. Baru kahwin tiga bulan, tetapi sudah cerai. Sudahlah kami satu pejabat," jelasnya.
Enggan terus diselubungi pelbagai rasa dan tanda tanya, Farah berjumpa dengan peguam untuk pengesahan lafaz talak yang dibuat suami.
Selepas perbicaraan di mahkamah sekitar Lembah Klang, hakim memutuskan, jatuh talak kerana lafaz cerai yang jelas (sarih).
Farah bagaimanapun reda dengan ketentuan ilahi. Meskipun pahit untuk ditelan, namun segalanya dilalui dengan berlapang dada.