Rentas negeri: Kerajaan harus tekankan kawalan kendiri

Iklan
Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Kerajaan harus menekankan aspek penguatkuasaan kawalan kendiri bagi mengelakkan punca berlakunya kluster baharu Covid-19 susulan pembukaan sempadan negeri.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebenaran rentas tersebut perlu hadir dengan perasaan tanggungjawab dan mempunyai disiplin kendiri yang kuat.

Iklan
Iklan

"Walaupun kita sudah boleh berjumpa orang-orang yang disayangi, tetaplah berpesan kepada diri dan keluarga untuk sentiasa menjaga penjarakan fizikal sesama kita.

"Sentiasa juga amalkan pembersihan kendiri seperti kerap mencuci tangan, kurangkan bersentuhan dan sebagainya agar kita dapat mencegah penularan wabak yang tidak nampak. Sentiasa mengetahui keadaan tubuh kita sendiri.

Iklan

"Sekiranya ada tanda-tanda kurang sihat, segera lakukan ujian kendiri bagi mengenal pasti adakah kita telah dijangkiti Covid-19 untuk membolehkan kita membuat pengasingan kendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, kebenaran rentas negeri itu akan menggerakkan sektor ekonomi terutamanya melibatkan pengangkutan awam, penghantaran barangan dan perniagaan di seluruh negara.

Iklan

Tambahnya, penjaja di lebuh raya akan kembali menerima pengunjung, bas-bas awam akan menerima penumpang, begitu juga sektor-sektor yang lain.

"Selain itu, kita akan dapat menghidupkan aktiviti sosial yang melibatkan keluarga seperti hari keluarga, program gotong-royong, dan juga aktiviti riadah santai yang akan mengeratkan semula silaturrahim yang telah lama tidak bertaut,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, penjualan kit kendiri dapat direndahkan lagi kerana harga jualan sekarang masih di tahap membebankan.

"Ini memandangkan ia bakal menjadi keperluan dalam fasa endemik bagi setiap rakyat Malaysia.

"Ini akan memudahkan ujian Covid-19 dalam kalangan masyarakat tanpa menambahkan bebanan kepada sektor kesihatan,” jelasnya.