PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Jumaat mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman seorang ahli perniagaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua entiti lain dalam urusan tanah yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikatnya.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan J R Deepak Jaikishan yang memutuskan tiada merit dalam rayuannya kerana Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan secara terperinci setiap pliding dan isu-isu dalam membuat penemuannya.
Iklan
Iklan
"Kami mendapati penemuannya mengenai isu locus perayu (Deepak) dan kekurangan elemen utama dalam pliding yang dianggap oleh peguam perayu adalah betul dari segi undang-undang,” katanya sambil menambah bahawa tiada sebarang pindaan yang dapat membetulkan kenyataan tuntutan Deepak.
Hanipah berkata, mahkamah berpendapat tidak ada kekhilafan oleh Hakim Mahkamah Tinggi untuk membenarkan campur tangan rayuan.
Hanipah yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk See Mee Chun memerintahkan Deepak membayar kos RM7,000 kepada Najib, Rosmah, Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn Bhd.
Dalam prosiding rayuan yang dijalankan secara maya pada Jumaat, peguam, Magita Hari Mogan berhujah anak guamnya (Deepak) perlu diberi peluang untuk meminda penyataan tuntutannya. - Bernama
Artikel Berkaitan