Ramai tidak mampu bertahan lebih tiga bulan jika hilang kerja

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak mampu bertahan lebih tiga bulan daripada segi kewangan sekiranya mereka kehilangan sumber pendapatan utama.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, ia berdasarkan kepada tinjauan literasi yang dijalankan pada tahun 2020 mendapati 53 peratus responden memaklumkan tidak mampu bertahan lebih daripada tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keadaan tersebut diburukkan lagi menjelang 2030 di mana Malaysia dijangka menjadi negara komuniti tua dengan peratusan rakyat berusia 60 tahun dan ke atas sekitar 15 peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Perkara sedemikian secara struktur menimbulkan cabaran ke atas landskap simpanan persaraan di Malaysia.

Iklan

"Ketika ini, sekitar 40 peratus populasi negara dianggarkan tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial dan kebanyakan penduduk di bawah sistem persaraan formal dijangka berdepan kekurangan dana untuk persaraan," katanya ketika menyampaikan ucaptama acara InvestSmart Fest 2021 secara maya pada Jumaat.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung keselamatan persaraan dengan data menunjukkan sekitar 46 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun memiliki kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

Iklan

Data menunjukkan sekitar 46 peratus pencarum KWSP berusia di bawah 55 tahun memiliki kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

"Kesan Covid-19 juga menyaksikan penurunan ketara daripada 36 peratus kepada 27 peratus dalam aspek pencarum yang memenuhi nilai ambang simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Zaid berkata, sehingga September 2021, pihaknya menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan mengenai skim atau penipuan pelaburan, dengan jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

"Sebagai tindak balas, kami telah mengambil tindakan pantas untuk memerangi penipuan ini. Pada 30 September lalu, kami telah membuat 202 entri baru dalam SC Investor Alert, berbanding 134 entri untuk sepanjang tahun 2020.

"Tahun ini sahaja, dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Facebook Malaysia, kami berjaya menyekat 97 laman web dan tujuh akaun Facebook," katanya.

Jelasnya, SC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua bursa pertukaran aset digital asing (DAX) tahun ini menerusi kaedah menegur dan menyekat laman web mereka kerana beroperasi secara haram di Malaysia.

"Pada 30 September lalu, SC telah pengendali dalam Daftar Makluman Pelaburnya, yang terdiri daripada entiti dan individu yang berkaitan untuk menjalankan perniagaan nasihat pelaburan tanpa lesen.

"Kami juga mengarahkan 29 pengendali ini untuk berhenti memberikan nasihat pelaburan tanpa izin. Kegiatan ini biasanya dilakukan oleh 'guru pelaburan' yang menawarkan perkhidmatan melalui kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan di Telegram, WhatsApp dan Facebook," katanya.