Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso tawar lebih 7,000 pekerjaan

Iklan
Perkeso

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan di Karnival Kerjaya UP (Urban Poor) Jubli Emas Perkeso pada 9 Oktober ini.

Menurut kenyataan, ia bagi menyahut seruan kerajaan untuk membantu golongan rentan bandar mendapatkan peluang pekerjaan khususnya ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar masalah pengangguran dapat ditangani pada kadar segera.

Iklan
Iklan

Jelas Perkeso, Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan penglibatan 71 buah majikan daripada negeri Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Antara majikan yang menyertai karnival pekerjaan ini adalah Sime Darby Plantation, Apar Technologies, Banyan Tree Kuala Lumpur dan Hong Leong MSIG Takaful,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Tambah Perkeso, pendaftaran ke sesi temu duga di karnival itu adalah percuma dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja.

"Selain itu, berita baik buat pencari kerja yang bukan pencarum Perkeso seperti graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal, mereka boleh membuat permohonan insentif SIP Prihatin 2.0.

Iklan

"Perlu mengemukakan bukti penyertaan mereka dalam mana-mana sesi temu duga yang dijalankan di karnival ini,” ujarnya.

Menurut Perkeso, SIP Prihatin 2.0 menawarkan insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada pencari kerja yang menghadiri minimum tiga sesi temuduga dengan majikan yang berbeza.

Menurutnya, individu yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh masa tersebut layak menerima insentif tambahan Elaun Persediaan Bekerja (EPB) sebanyak RM400.

"Perkeso berharap pencari kerja daripada golongan B40 bandar akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

"Pencari kerja yang berminat boleh mendaftar di Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi nombor Careline Perkeso 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300,” katanya.