Selesai isu kelapa sawit dulu, bukan terus tukar: Che Alias

Iklan
Che Alias Hamid

KUALA TERENGGANU - Kerajaan seharusnya memberikan tumpuan dalam menyelesaikan isu kelapa sawit dahulu dan bukannya mencadangkan pekebun atau peneroka beralih kepada tanaman baharu.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, cadangan untuk beralih kepada tanaman seperti buluh, nanas dan kelapa bagi menggantikan kelapa sawit oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim cukup mengecewakan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan rentetan harga minyak sawit yang merudum sejak kebelakangan ini berikutan tekanan di pasaran antarabangsa, kerajaan sepatutnya melakukan sesuatu bagi membantu golongan pekebun dan peneroka.

"Kerajaan boleh mengadakan perbincangan dan bantahan mengenai isu diskriminasi minyak sawit di negara-negara Eropah. Pada masa yang sama, kita perlu meningkatkan kualiti kepelbagaian produk sawit sama ada dalam dan luar negara.

Iklan

"Pihak menteri dan agensi yang terbabit iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga seharusnya memberi fokus kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menangani isu dalam industri sawit itu sendiri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekebun kecil perlu cari tanaman alternatif selain sawit

Iklan

Jelas Che Alias, kerajaan juga perlu memperluaskan pasaran baharu di negara-negara lain seperti Iran, Turki dan Afrika.

Kerajaan katanya, tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menukar tanaman komoditi itu dengan tanaman yang tidak pasti keberhasilan dan kesesuaiannya.

"Perlu diingat, menukar sesuatu tanaman komoditi kepada tanaman alternatif lain bukan sesuatu yang mudah.

"Tidak dinafikan, saranan kerajaan agar pekebun kecil tidak bergantung kepada satu jenis tanaman saja merupakan satu alternatif bagi membantu pekebun kecil, tapi kerajaan perlulah menyediakan perancangan yang teliti agar menjadi satu panduan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar Teresa mengadakan perbincangan yang realistik dan holistik bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam cadangan penanaman tanaman alternatif lain agar dapat dicapai.

"Sekiranya pihak menteri berkenaan bersungguh-sungguh dalam cadangan tanaman alternatif lain, kajian perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira cadangan dan pandangan rakyat,” katanya.