KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kempen Mel Rakyat dilancarkan Pos Malaysia sempena Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, kempen ini membolehkan orang ramai berhubung antara satu sama lain dengan percuma menerusi kiriman surat seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat terutama semasa negara dilanda pandemik.
"Semasa pandemik, ramai yang sudah lama tidak bersua. Usaha ini amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Ini membawa falsafah kebersamaan atau togetherness dan hidup di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan merdeka seperti Malaysia,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM sempena Hari Pos Sedunia 2021 pada Sabtu.
Kempen Mel Rakyat yang bermula pada 4 Oktober sehingga 31 Oktober ini bertemakan 'Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Depan'.
Menekankan kepentingan warga Pos Malaysia terutama bagi kesinambungan dan pembangunan ekonomi serta sosial, Annuar turut menzahirkan penghargaan kepada Pos Malaysia sebagai perkhidmatan pos tertua negara yang berusia mencecah lebih 200 tahun perkhidmatan.
Beliau berkata, sambutan Hari Pos Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Innovate to Recover’ juga melambangkan usaha dan kepentingan perkhidmatan pos di seluruh dunia dalam memastikan kelangsungan ekonomi global.
Hari Pos Sedunia, yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun menandakan ulang tahun penubuhan Kesatuan Pos Sedunia pada 1874.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, bagi meraikan sambutan ke-52 tahun Hari Pos Sedunia (WPD), Pos Malaysia akan mengeluarkan koleksi setem edisi khas dengan tema Honouring Our Past, Connecting Our Future (Meraikan Legasi, Menghubungkan Masa Hadapan).
Katanya, individu yang berminat mendapatkan koleksi tersebut boleh membelinya secara dalam talian di www.pos.com.my mulai hari ini atau di pejabat pos terpilih di seluruh negara mulai Isnin ini.
"Koleksi setem unik ini direka bentuk dengan menghargai masa lampau kita, sambil memperkukuhkan komitmen kita untuk menghubungkan rakyat Malaysia. Kami melakukannya dengan perasaan rasa rendah hati dan bangga," tambah Charles.
Menurut Charles, koleksi itu menawarkan rangkaian setem dengan ilustrasi masa lampau dan masa kini Pos Malaysia dengan sejumlah 400,000 keping setem akan dikeluarkan bagi setiap reka bentuk, dengan nilai muka RM1.30 setiap satu.
Produk filateli lain seperti sampul Surat Hari Pertama (FDC) dan folder berharga RM0.50 dan RM6 setiap satu namun pengumpul setem boleh membeli keseluruhan set pada harga yang berpatutan RM36.10
Untuk pertanyaan lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi melalui telefon di talian 03-2267 2267 atau e-mel ke filateli@pos.com.my.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyertai perayaan WPD dengan berswafoto bersama-sama posmen di kejiranan mereka atau individu penghantaran Pos Laju dan mengucapkan Selamat #WPD2021 #TerusBerhubung #KeepingYouConnected # pos4you#PosMalaysia #KeluargaMalaysia #StrongerTogether dan tag Pos Malaysia di Facebook, Instagram atau Twitter. - bernama