Agrobank edar 100 kotak bantuan makanan

Iklan
Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada Imam 2 Masjid Al Munziri, Asahan, Mohd Ikmal Idris (dua dari kiri) dan disaksikan Khadijah (kanan) serta Pengarah Wilayah Agrobank Melaka/Johor, Md Yasin A.Hamid (kiri) pada majlis penyerahan sumbangan MAFI Prihatin yang diadakan di cawangan Agrobank Jasin pada Jumaat.

JASIN - Agrobank dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengedarkan 100 kotak bantuan makanan kepada penduduk di beberapa lokasi sekitar daerah Jasin yang terjejas dengan pandemik Covid-19 menerusi program MAFI Prihatin.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, Agrobank amat prihatin dengan kesukaran dan situasi semasa dihadapi oleh komuniti setempat yang terjejas dan memerlukan bantuan serta sokongan dari segi keperluan asas makanan akibat kesempitan yang dialami sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik ini.

"Sumbangan melalui program MAFI Prihatin ini melibatkan penyerahan sumbangan kotak makanan yang berupa barangan makanan dan minuman kepada penerima kumpulan sasar yang telah dikenal pasti oleh Majlis Agama IslamMelaka (MAIM),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada Jumaat, penyerahan kotak bantuan makanan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada wakil imam masjid bagi kawasan Asahan, Bemban, Rim, Merlimau, Serkam dan Sungai Rambai yang diadakan di cawangan Agrobank Jasin.

Mengulas lanjut, Khadijah berkata, dalam menyokong pemulihan pasca Covid-19 khususnya dalam sektor pertanian di negeri Melaka, Agrobank terus memainkan peranannya menerusi pengagihan pakej-pakej stimulasi kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan kemudahan bersasar serta kemudahan pemulihan lain.

Iklan

"Sehingga kini, Agrobank telah mengagihkan pelbagai jenis dana rangsangan, termasuk menerusi program Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemulih dengan jumlah keseluruhan RM30.21 juta dan RM161.74 juta yang telah memberi manfaat kepada 462 dan 1,574 pelanggan bagi setiap program tersebut di seluruh negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hamzah, berkata, program MAFI Prihatin telah dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah MAFI bagi membolehkan lebih banyak golongan sasar mendapat manfaat.

Ahmad berkata, MAFI berbesar hati dan berterima kasih kepada Agrobank atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan bank berkenaan untuk membantu mereka yang terkesan terutamanya dalam menghadapi situasi sukar pada waktu ini.

"Setakat Jun hingga September tahun ini, seramai 96,525 orang penerima telah mendapat manfaat dan bantuan menerusi program MAFI Prihatin yang dijalankan di 551 lokasi seluruh negara,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa melawat dua tapak perniagaan pelanggan Agrobank iaitu Hafeez Brothers Agro yang diusahakan oleh Muhammad Hafeez Shasraman dan perniagaan Bersatu Dagang Enterprise yang diusahakan oleh Mohd Nizam Abdullah.