HULU LANGAT - Pas Selangor akan terus memperkasakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Pas Selangor sentiasa patuh kepada arahan pimpinan pusat dan pernah beberapa kali mengadakan mesyuarat bersama pemimpin PN dan MN negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya itu.
"Mungkin ramai yang anggap Pas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana selalu bersama UMNO.
"Bagaimanapun, kita cuba membawa asas perpaduan ummah dari sudut politik yang memerlukan kebersamaan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Baitul Ikhwan, di sini, pada Sabtu.
Ahmad Yunus berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan Pas Selangor dengan Bersatu di negeri itu susulan parti Islam berkenaan dilihat lebih cenderung mengukuhkan hubungan dengan UMNO.
Mengulas lanjut mengenai persediaan PRU15 nanti, Ahmad Yunus berkata, Pas, PN dan MN perlu menggelakkan pertembungan tiga penjuru di Selangor seperti yang berlaku dalam pilihan raya lalu.
"Disebabkan itulah, kebersamaan dan sifat berlapang dada dalam MN dan PN perlu diurus dengan baik.
"Seboleh mungkin, sebaiknya hanya berlaku pertembungan dua dalam pilihan raya nanti," katanya.