BAGAN DATUK - Semua pihak perlu memberi peluang kepada Danesh Raj Nagarajan untuk membuktikan kemampuannya selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaya (UM).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya melihat anak muda berusia 26 tahun itu mampu menyuntik idea-idea baharu berikutan penglibatan aktifnya dengan alumni universiti berkenaan.
"Kita mahu membawa suara-suara orang muda di universiti dan melihat kriteria dan cadangan yang diberikan, maka Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah buat pilihan melantik Danesh.
"Kita kena percaya dengan kebolehan orang muda dan beri mereka peluang untuk membuktikan bahawa mereka mampu membantu universiti berkenaan," katanya ketika ditemui pada program 'outreach' Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Parlimen Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Noraini diminta mengulas mengenai kenyataan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang mempersoalkan pelantikan Danesh yang tidak melihat sebarang nilai tambah yang boleh diberikan susulan daripada pelantikan individu itu ke dalam jawatan berkenaan.
Persatuan pelajar itu turut mempersoalkan mengenai indeks prestasi utama (KPI) atau garis panduan yang diguna pakai dalam pemilihan anggota Lembaga Pengarah Universiti kerana berpandangan ramai lagi individu atau pihak lain yang lebih berkelayakan bagi mengisi jawatan tersebut.
Noraini turut yakin Danesh akan mendapat kerjasama LPU lain yang terdiri daripada wakil pelbagai kategori seperti wakil masyarakat, alumni, Senat dan sebagainya.
Katanya, pelantikan Danesh itu akan membentuk satu diversiti dalam kepimpinan institusi pengajian yang akan menjadi ikutan universiti lain.
"Ya, sudah tentu ia menjadi ikutan universiti lain. Sekarang ini, alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) pun muda juga dan saya lihat ketokohan alumni ini boleh membantu kerana mereka aktif.
"UMP misalnya, apa yang dibuat telah menghubungkan beberapa program alumni untuk buat latihan bersama industri," katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, pihak universiti sudah bersedia menerima kemasukan semula pelajar secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.
"Kita beri autonomi kepada universiti masing-masing untuk tentukan pelajar berkeperluan untuk masuk ke kampus dahulu.
"Ada enam kategori iaitu mereka yang mengambil peperiksaan tahun akhir, mereka yang perlu pergi ke makmal, ujian amali dan pelajar yang tiada akses internet juga digalakkan kembali ke kampus," katanya.
Pada program itu Noraini berkata, sebanyak 2.5 juta vaksinasi dilakukan di seluruh negara sejak ia dilaksanakan Jun lalu dan akan diteruskan walaupun negara sudah mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa.
"Program 'outreach' itu sebagai usaha membantu orang ramai yang tidak berkemampuan untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) disebabkan faktor keuzuran, kesihatan, tiada kenderaan dan sebagainya.
"Secara keseluruhan terdapat 36 PPV dan paling menarik di UKM itu sendiri ada tiga cara dilaksanakan iaitu intgerasi dengan memberi vaksin AstraZeneca, konsep pandu lalu dan program outreach kepada penduduk setempat," katanya.