KOTA BHARU - Rakyat Kelantan yang berada di perantauan dinasihatkan supaya melakukan ujian saringan Covid-19, melengkapkan dua dos suntikan vaksin serta memastikan bebas daripada sebarang gejala sebelum pulang ke kampung halaman apabila dibenarkan rentas negeri.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau memahami ramai perantau rindu untuk pulang ke Kelantan selepas tidak dapat berbuat demikian dalam tempoh yang lama, namun kesihatan ibu bapa serta ahli keluarga di kampung lebih penting.
"Rakyat Kelantan berada di perantauan rindu nak balik jumpa ibu bapa dan sanak saudara, yang penting sudah mendapat dua dos (suntikan vaksin) lengkap. Kita kena ingat mereka yang berisiko sekiranya (perantau) balik seperti orang tua serta sanak saudara yang mempunyai penyakit kronik dan sebagainya.
"Buat saringan guna kit ujian kendiri (sampel) air liur pun tak apa dan pastikan kita tidak bergejala. Kalau bergejala maaf toksah (jangan) balik lagi, relaks dulu tunggu tidak bergejala,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2021 peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini pada Sabtu.
Ketika ditanya mengenai kadar vaksinasi yang dilihat masih rendah, Ahmad berkata, perkara tersebut berlaku kerana ramai rakyat Kelantan menetap di luar tetapi beralamat di negeri ini.
"Kalau kata (program suntikan) tidak berkesan, tidak betul sebab program vaksinasi secara outreach dan jumpa terus telah kita buat, malah (suntikan) menerusi pendaftaran MySejahtera sudah hampir habis semua.
"Ramai rakyat kita berada di luar tetapi beralamat di Kelantan dan kemungkinan mereka sudah mendapat suntikan vaksin contohnya di Lembah Klang atau di mana-mana. Kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi maka hasrat dan sasaran 80 peratus pada pertengahan Oktober akan dapat dicapai,” katanya.
Sementara itu di JOHOR, negeri itu juga bersedia menerima kemasukan pengunjung domestik apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.
Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, persediaan itu termasuk memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di pelbagai fasiliti di negeri ini.
"Apabila rentas negeri dibenarkan, selepas mencapai kadar 90 peratus, semua pusat pemberian vaksin akan dibuka untuk jumpa terus bagi mana-mana individu yang masih belum mendapatkan suntikan.
"Kami juga akan meningkatkan pematuhan SOP dengan menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman di kemudahan awam termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan HSN 2021 peringkat Negeri Johor.
Beliau sebelum itu ketika berucap pada program berkenaan berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bagaimanapun perlu sedikit masa ekoran berlaku peningkatan kes di republik berkenaan. - Bernama