Keyakinan pendeposit kepada TH kembali meningkat

Iklan
Ahmad Marzuk menjawab pertanyaan pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Ariff Aiman Mustffa, 19, sempena program outreach rakan setia komuniti OKP Dadah Pengkalan Chepa di rumahnya di Gong Tengah hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Keyakinan pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

Iklan
Iklan

"Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

"Insya-ALLAH projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

Iklan

"Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

"Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. - Bernama