KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol ditahan kerana memandu secara melawan arus di kilometer 6.5 Kerinchi Link dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B di sini pada awal pagi Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan oleh polis bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) sekitar jam 1.15 pagi.
Iklan
Iklan
"Suspek memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna emas secara melawan arus dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B dengan jarak sejauh kira-kira 50 meter.
"Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Anggota polis yang melakukan tugas rondaan kawasan tanggung jawab di Lebuhraya LDP-Sprint telah membawa suspek dan kenderaannya ke Balai Polis Jalan Tun H.S Lee," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sarifudin berkata, keputusan ujian pernafasan atau Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap suspek menunjukkan terdapat sebanyak 254 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.
Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.
"Kita buka siasatan di bawah Seksyen 45(a) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.