SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mewakili seluruh warga perkhidmatan awam terutama anggota bomba menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.
Presidennya, Adnan Mat berkata, keputusan dibuat oleh kerajaan itu sejajar dengan hasrat Cuepacs dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian Muhammad Adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.
"Cuepacs menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian Muhammad Adib.
"Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.
"Kes yang melibatkan Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari serta dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, kerajaan bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian, Allahyarham Muhammad Adib, 24.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan wujudkan jawatankuasa siasatan kematian Adib
Ismail Sabri berkata, jawatankuasa itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya berharap tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa ditubuhkan ini digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul di sebalik kematian Muhammad Adib.
"Dapatan daripada siasatan kes ini perlu dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan.
"Cuepacs menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Muhammad Adib dapat dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Cuepacs turut berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak, sebaliknya fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang.
Pada 17 Disember 2018, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.
Mahkamah Koroner Shah Alam pada Pada 27 September 2019 memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Sementara itu, pada 25 September lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika kes berkenaan berlaku, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan kes kematian tersebut ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.