TENOM - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mengambil pukat di Sungai Padas, Kuala Tomani, di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 petang selepas penduduk kampung menyedari mangsa yang dikenali sebagai Zali Tun, 25, hilang di sungai itu.
Iklan
Iklan
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom dengan bantuan empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi yang terletak 40 kilometer dari balai bomba.
"Menurut maklumat, mangsa lemas ketika mengambil pukat di sungai berkenaan.
"Pasukan penyelamat kemudian melakukan operasi pencarian sejauh 600 meter dan menyusuri tebing Sungai Padas sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa lemas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 5.37 petang.
"Operasi mencari mangsa akan diteruskan esok," katanya.