Makna di sebalik sajak belasungkawa

Iklan
Melan Abdullah, Usman Awang, Firdaus Abdullah

ISTILAH belasungkawa bererti pernyataan dukacita atau takziah yang ditujukan khas kepada si mati, manakala sajak belasungkawa atau sajak rekwim (elegy) adalah pernyataan dukacita yang dirakamkan dalam genre sajak yang eksklusif sifatnya serta disulami dengan sedikit sebanyak biografi si mati.

Sajak belasungkawa ditulis bukan hanya mengimbau perasaan dukacita atas kepulangan seseorang tokoh ke alam baqa tetapi disulami dengan penceritaan sumbangan tokoh kepada negara pada bait-bait puisi yang puitis dan ekonomis sifatnya.

Iklan
Iklan

Gambaran kehidupan seseorang tokoh itu diolah dalam bentuk puisi moden yang tidak terikat dengan hukum-hukum genrelistik tetapi mementingkan simbol metafora, rima dan sebagainya.

Kebiasaan sajak belasungkawa muncul di dada akhbar atau majalah apabila berlaku kematian seseorang tokoh nasional yang berjasa kepada watan, misalnya selama 43 tahun dari 1973 hingga 2016, media cetak di negara ini telah menyiarkan sebanyak 155 kuntum sajak belasungkawa yang merakamkan kematian 71 orang tokoh negara.

Iklan

Penulis mula mengumpul sajak-sajak belasungkawa semenjak tahun 1973 apabila ramai tokoh negara termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohamad Salleh Ismael dan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee seorang demi seorang meninggal dunia pada tahun yang sama.

Dalam perkiraan penulis, penyair yang rajin menukangi sajak-sajak tersebut ialah Chai Loon Guan sebanyak 15 kuntum, diikuti Zabidin Haji Ismail (14), Usman Awang (8), Ami Masra (8), Animas A.R (4), tiga kuntum masing-masing oleh A. Aziz Deraman dan Ahmad Sarju.

Iklan

Utusan Melayu (UM) telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan sajak-sajak belasungkawa.

Sepanjang tempoh kajian terdapat sebanyak 31 kuntum sajak belasungkawa yang disiarkan dalam Utusan Zaman, Mingguan Malaysia (MM) dan Mastika.UM mula menyiarkan sajak belasungkawa ketika kematian Abdul Rahim Kajai (Tokoh Wartawan dan Bapa Cerpen Melayu) yang ditulis oleh Melan Abdullah bertajuk Abdul Rahim Kajai dalam Mastika keluaran bulan Jun 1948 sehingga kematian Tan Sri Ismail Hussein, bekas Ketua Satu Gapena berjudul Mekar Mewangi karya Razali Mohd Yusof siaran MM, 24 Oktober 2014.

Walaupun terdapat beberapa buah syarikat penerbitan lain menyiarkan sajak-sajak belasungkawa, namun komitmen mereka tidak sehebat UM.

Pelopor

Sasterawan Negara, Usman Awang dianggap sebagai pelopor penciptaan sajak-sajak belasungkawa kerana karyanya cukup mantap, menarik serta mendekati subjek dengan sulaman mesej yang mengesankan.

Lihat Usman menulis tentang Dato’ Ahmad Boestamam dengan gaya penyampaian mesej yang bersahaja (Dewan Sastera, 1983); Boestamam, penjara demi penjara kaumasuki | derita demi derita di sekeliling pagar berduri | selama hidupmu lebih dari 5,745 hari | kau rebahkan dalam penjara berduri | selama ribuan hari lagi kau pikul beban rasa | kepedihan derita hidup keluarga | rindu pilu isteri dan putera-putera tercinta | namun tidak ada kata menyerah | meski tawaran kemewahan datang mencurah.

Usman mampu mengungkap biografi Boestamam dengan jelas kerana mereka bersahabat, akrab dan rakan seperjuangan yang saling mengenali di antara satu dengan yang lain, justeru Usman menulis dari jiwa dan kalbu yang dicanaikan dengan minda terbuka.

Kata Usman lagi; Pelabuhan sepi keranda sudah bertolak | sayup-sayup suara pidatonya dilambung ombak | benarkah pisang emas dibawa belayar | sungguhkah pulau pandan jauh ke tengah? | Boestamam putera besar tanah air | namamu terpahat di gerbang sejarah | pejuang kemerdekaan dan keadilan | budayawan dan sasterawan | ahli fikir dan negarawan | Harum semerbak bau kasturi | kemboja merah mekarlah berseri | kekal semarak perjuangan berani | Tuhan pengasih selalu merahmati.Usman juga amat produktif melahirkan sajak belasungkawa dengan lapan kuntum untuk lapan orang tokoh.

Hakikatnya, suatu penghargaan tinggi jika Usman mencipta puisi belasungkawa untuk tokoh tertentu kerana beliau hormat serta menyanjungi personaliti tersebut.

Menakjubkan apabila Usman meninggal dunia, ramai pula penyair menulis sajak belasungkawa mengenang beliau iaitu 16 kuntum berbanding tokoh-tokoh negara yang lain seperti P. Ramlee (8 kuntum), Pak Sako (7), Prof Zulkifli Muhammad (6), Aminuddin Baki (5) dan Ismail Hussein (5) yang menggambarkan bahawa kematian Usman Awang memberi kesan kesedihan yang mendalam di sanubari penyair tempatan.

Fakta sejarah

Dalam pada itu, sajak Firdaus Abdullah yang mengungkapkan kematian Aminuddin Baki berjudul, Pahlawan Engkau Telah Pergi (Dewan Masyarakat, Januari 1966), cukup mengesankan dan berjaya merakamkan detik-detik kesedihan beliau iaitu; Petang itu, petang pertama bulan puasa | kupaksa diriku untuk tidak mempercayainya | dan kepalaku berpinar demi mendengar khabar | kata adik-adikku: Aminuddin Baki telah meninggal |

Sajak-sajak belasungkawa yang digarap oleh Usman Awang dan Firdaus Abdullah, adalah antara contoh yang paling mengesankan di sanubari pembaca.

Bukan mudah sebenarnya untuk seseorang tokoh itu dikenang oleh masyarakat, apatah lagi untuk membangkitkan kerelaan penyair bagi menggarap sajak mengenang kematian seseorang tokoh.

Pemergian tokoh besar sekalipun belum tentu ada penyair yang rela menggarap sajak untuk mengenang jasanya. Hakikat ini dikesan dalam tempoh mengumpul sajak-sajak belasungkawa dari tahun 1973 hinggalah 2016, banyak sekali kematian tokoh besar negara tidak diliputi oleh sajak belasungkawa.

Justeru faktor kerelaan hati penting dalam garapan sajak-sajak belasungkawa. Lantas tidak semua kematian itu dapat membangkitkan naluri penyair bagi melahirkan sajak belasungkawa.

Sajak belasungkawa boleh dikategorikan sebagai bahan dokumentasi berbentuk karya kreatif yang mengenang kematian seseorang tokoh di samping satu bentuk penghargaan yang menghargai jasa dan sumbangan tokoh kepada masyarakat; bangsa yang besar itu adalah bangsa yang membesarkan pahlawannya.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)