Desakan tangani sebarang gangguan, isu birokrasi

Iklan

SHAH ALAM - Reformasi Parlimen dituntut supaya institusi penting itu dapat berfungsi dengan sebaiknya tanpa ada sebarang gangguan terutama melibatkan amalan birokrasi.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, institusi penting seperti Parlimen perlu bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya tanpa ada sebarang kekangan atau gangguan ‘tangan ghaib’.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, satu reformasi melibatkan badan eksekutif dan peranan Parlimen perlu dilaksanakan demi memperjuangkan nasib rakyat dan pembangunan negara.

"Maka tuntutan yang digerakkan oleh Rasuah Busters adalah perkara yang telah dikaji terlebih dahulu, sekali gus diharap dapat membantu kerajaan menangani sebarang ketirisan atau penyelewengan kuasa dalam arena politik negara,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau bekata, reformasi Parlimen seharusnya memastikan sesi perbahasan yang berlangsung dapat ditumpukan kepada agenda penting dan bukannya digunakan sebagai gelanggang untuk mencaci serta memaki hamun.

Menurut Mohamed Shafie, episod memalukan arena politik negara yang berlaku dalam tempoh tiga tahun ini adalah yang terburuk, selain menyaksikan banyak kes lompat parti telah diterjemahkan.

Iklan

Tegas beliau, selain mandat rakyat dikhianati, perbuatan lompat parti mengundang isu besar kepada negara kerana sesebuah kerajaan yang menang dalam pilihan raya umum mampu ditumbangkan.

Jelas beliau, perbuatan tersebut turut mencetuskan isu pergolakan dalam kerajaan, sekali gus boleh memberi kesan terhadap ekonomi negara.

"Maka Parlimen perlu ambil iktibar daripada semua perkara yang telah berlaku ini termasuk gejala rasuah yang semakin berleluasa.

"Kita tidak lagi perlu berpura-berpura berhubung isu rasuah dan mempertahankan golongan pemimpin yang terlibat dengan amalan jijik tersebut,” katanya.

Mohamed Shafie berkata, jika Ahli Parlimen tidak mengambil endah enam tuntutan Rasuah Busters, ia satu yang memalukan kerana seolah-olah mereka bersetuju dengan apa yang berlaku dalam dunia politik negara.