PENGENDALI England, Gareth Southgate memuji aksi cemerlang yang dipamerkan para pemainnya selepas membelasah Andorra 5-0 dalam aksi Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Ahad.
Menurutnya, barisan pemain England berjaya untuk menjaringkan gol walaupun Andorra beraksi dengan corak permainan bertahan.
"Saya gembira dengan cara pasukan bermain dan menghadapi cabaran daripada Andorra. Kami perlu memecahkan corak permainan bertahan yang digunakan oleh pasukan lawan.
"Kami memilih pemain yang dapat mengatasi cabaran itu. Kami tahu dengan corak pertahanan Andorra, kami perlu menggunakan larian daripada penjuru dengan Phil Foden dan James Ward-Prowse memainkan peranan itu.
"Larian tersebut memberikan masalah besar kepada lawan. Malah, beberapa pemain juga mendapat gol pertama mereka hari ini seperti Jack Grealish dan Ben Chillwel. Jadi, ia satu perlawanan yang bagus buat semua pemain," katanya.
Dalam perlawanan itu, Chilwell membuka tirai jaringan untuk England pada minit ke-17 dan Bukayo Saka menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.
Tammy Abraham yang berada dalam kesebelasan utama the Three Lions selepas tempoh empat tahun menambah gol pada minit ke-59 disusuli gol James Ward-Prowse pada minit ke-79 dan Grealish pada minit ke-86.
Kemenangan itu menyaksikan England terus mendahului Kumpulan I dengan perbezaan empat mata mengatasi Albania di kedudukan kedua.
Dalam pada itu, pemain sayap England, Grealish mengakui ia hari terbaik buatnya selepas berjaya meledak gol pertama untuk pasukan kebangsaan sepanjang kariernya.
"Sudah lama dan tiba masanya saya menjaringkan gol kerana semua orang sudah mula bertanya. Saya gembira dapat melepasi halangan itu.
"Dalam fikiran saya hanya ada keazaman untuk menjaringkan gol, melepasi halangan itu. Saya sudah lakukannya malam ini, saya gembira dan ia malam yang tidak akan dilupakan," katanya.