KEHADIRAN kumpulan pop British, Blue, ke majlis perkahwinan S.M. Faliq Nasimuddin dan Chryseis Tan, telah membuatkan ramai peminat mereka 'makan hati'.
Namun kekecewaan itu tidak lama apabila KC & Friends bersama TerryAndTheCuz, membawa kumpulan yang dianggotai oleh Antony Costa, Duncan James, Lee Ryan and Simon Webbe kembali ke Malaysia, Ahad lalu sempena konsert jelajah Asia Tenggara mereka.
Seramai 2, 400 peminat setia kumpulan ini memenuhi ruang di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM Cheras, Kuala Lumpur.
Persembahan malam itu dimulakan dengan lagu-lagu hits dari era 90-an sehingga sekitar tahun 2000 nyanyian Westlife, Backstreet Boys, Britney Spears dan banyak lagi, yang dimainkan oleh DJ Jakeman atau Datuk Jake Abdullah.
Blue mula mengambil tempat di pentas kira-kira jam 9.30 malam dan terus menyampaikan lagu hits mereka, Sorry Seems to Be the Hardest Word dan diikuti dengan lagu Bubblin' dan Fly By.
Dalam interaksi pertama bersama peminat yang hadir malam itu, mereka menyampaikan rasa teruja kerana dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.
Untuk rekod, Blue mengadakan persembahan buat peminat di Malaysia kira-kira 15 tahun lepas.
Lucunya, ketika permulaan persembahan ke semua penonton duduk di tempat masing-masing dan Duncan meminta semua untuk berdiri bagi lebih merasai feel sebuah konsert.
"Bagus rasanya dapat kembali. Anda semua sudah duduk kembali. Berdirilah dan menari bersama kami," ujarnya.
Mereka meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Too Close, If Your Come Back dan Hurt Lovers.
Dalam sesi interaksi seterusnya bersama peminat, Costa berkata, sekiranya peminat terus menyokong mereka, mereka pasti akan kembali ke Malaysia untuk konsert seterusnya dan di sambut dengan sorakan daripada peminat.
"Kami terbang jauh untuk berjumpa anda. Malah kami terbang beribu kilometer dan berada jauh dari rumah. Tapi anda semua membuatkan kami rasa dialu-alukan.
"Terima kasih kerana menyokong kami dan sekiranya anda terus menyokong kami, kami pasti akan kembali," katanya.
Blue meneruskan persembahan dengan menyampaikan seleksi lagu hit dan baharu mereka seperti You Make Me Wanna, I Can, Paradise, Flexin', Guilty, We've Got Tonight Curtain Falls, Breathe Easy, One Love dan Best In Me.
Sebaik tamat menyanyikan lagu Best In Me, kumpulan ini terus mengucapkan selamat tinggal dan meninggalkan pentas serta lampu juga dipadamkan.
Namun gimik itu bagai dapat dibaca oleh semua apabila dewan gamat dengan jeritan 'kami mahu lagi', sebelum kumpulan ini kembali ke pentas dan menyanyikan lagu hits yang telah menaikkan nama mereka di dalam industri iaitu All Rise.
Sebaik tamat menyanyikan All Rise, keempat-empat ahli kumpulan itu mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dan mengundurkan diri, konsert tamat tepat jam 10.30 malam.
Rata-rata peminat tampak berpuas hati dengan persembahan pada malam itu dan tidak kurang juga yang merasakan tempoh sejam terlalu singkat.
Sementara itu, Blue juga sempat bertemu dengan para peminat yang memberi tiket VVIP, beberapa jam sebelum konsert bermula.
Dalam sesi meet & greet yang berlangsung lebih kurang 20 minit itu, pemegang tiket VVIP berpeluang untuk bergambar bersama ke semua anggota.
Blue mula mencipta nama sekitar tahun 2000 menerusi lagu All Rise (album judul sama) dan terus hits beberapa dua buah album iaitu One Love (2002) dan Guilty (2003).
Namun sekitar tahun 2005, kumpulan ini mengumumkan untuk berpisah sementara dan memberi fokus terhadap karier solo masing-masing.
Pada tahun 2012, mereka kembali bersama dan tampil dengan album Roulette (2013) dan diikuti Colours (2015).
Selain dikenali sebagai penyanyi, keempat-empat anggota kumpulan Blue ini juga boleh menulis lirik, mencipta lagu dan berlakon.