Lelaki ditahan muat naik hantaran hina Sultan Johor

Iklan
Ayob (kanan) menunjukkan peranti digunakan suspek untuk membuat hantaran di Twitter pada sidang media di IPK Johor di sini pada Ahad

JOHOR BAHRU - Polis telah menahan seorang tukang cat kereta sambilan yang disyaki mengeluarkan komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Twitter pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada jam 9.25 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki yang dipercayai pemilik akaun Twitter dengan nama zion74rey@reymizion74 itu bagaimanapun telah dilepaskan selepas selesai diambil keterangan.

"Siasatan dilakukan selepas polis telah menerima satu laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan di akaun Twitter dipercayai milik suspek pada jam 2.03 petang.

Iklan

"Menerusi hantaran itu, kita dapati ia turut mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Ahad.

Ayob berkata, siasatan lanjut turut mendapati suspek memiliki dua rekod lampau bersabit kes ceroboh dan khianat.

Iklan

Katanya, polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat 'posting' berkenaan termasuk satu unit komputer, satu telefon bimbit dan satu unit adapter.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ayob turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyalah guna media sosial dengan membuat hantaran yang boleh mengganggu ketenteraman awam.