Berlabuh tanpa kebenaran, bot tunda, tongkang ditahan

Iklan
Tongkang yang dikendalikan tiga warga Myanmar ditahan selepas mereka disyaki tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran serta menggajikan kru asing tanpa permit yang sah.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tunda bersama tongkang berbendera Malaysia itu ditahan oleh kapal Maritim (KM) SIKUATI pada jarak 0.5 batu nautika timur Pulau Kendi ketika sedang melaksanakan OP Pertiwi sekitar jam 9 pagi, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot tunda yang dikendalikan lima kru termasuk nakhoda, terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 22 hingga 34 tahun itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia.

"Dalam operasi sama, kita turut menahan tongkang bermuatan jentera dan bahan binaan dikendalikan tiga warga Myanmar berumur dalam lingkungan umur 29 hinggga 50 tahun.

Iklan

"Kesemua mereka disyaki tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.

Abd Razak berkata, nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru tongkang telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Iklan

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan, Abd Razak memberitahu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Abd Razak memberi peringatan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626 146 atau talian kecemasan MERS 999.