Pendapatan industri koko mampu capai RM6.5 bilion tahun ini

Iklan
Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020. - Foto 123rf

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin unjuran pendapatan keseluruhan industri koko mampu mencapai RM6.5 bilion pada tahun 2021.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020.

Iklan
Iklan

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, pendapatan eksport telah mencecah RM4.5 bilion,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak lokasi cadangan pembangunan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor pada Ahad.

Beliau berkata, perkembangan tersebut disokong oleh pertumbuhan positif dalam pasaran eksport dan produk-produk koko yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.2 peratus sejak tahun 2014.

Iklan

Menurutnya, produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik pengguna di peringkat antarabangsa.

"Pada tahun lepas juga, Malaysia adalah negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia dengan menyumbangkan tujuh peratus jumlah pengisaran dunia.

Iklan

"Dalam tempoh lima tahun hingga 2020, nilai eksport coklat telah meningkat sebanyak 98.7 peratus dengan membabitkan serbuk koko dan lemak koko, masing-masing 31.4 peratus serta 16 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, KPPK menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam perancangan untuk membangunkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP.

"Kedua-dua pelabuhan tersebut telah tersedia infrastruktur, tenaga kerja dan jaringan domestik yang sangat baik.

"KPPK berharap dengan lawatan yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan tempatan dan pihak industri dalam merancakkan lagi pembangunan sektor koko khususnya di Johor,” katanya.