Lokasi sampah haram berulang

Iklan
Bahu jalan di selekoh Ambang Suria, di sini menjadi port pembuangan sampah domestik dan pukal.
PUNCAK ALAM - Tindakan individu yang membuang sampah haram di bahu jalan di Ambang Suria, di sini bukan sahaja menjejaskan pemandangan tetapi menjadi tumpuan haiwan liar.

Dua lokasi bahu jalan di kawasan terbabit mudah menjadi lokasi pembuangan sampah domestik dan pukal.

Keadaan yang tersorok di laluan utama Puncak Alam - Kampung Bukit Hijau turut menjadi faktor memudahkan pembuangan sampah.

Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd Hanif Md Sultan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu.

Menurutnya, pihaknya bimbang kawasan terbabit akan terus menjadi lokasi longgokan sampah haram sehingga mendatangkan bau busuk jika tiada tindakan penguatkuasaan.

"Saya faham sebelum ini ada kerja pembersihan di kawasan terbabit dan papan tanda larangan dipasang namun masih ada pembuangan sampah di situ.

"Saya pun hairan kenapa masih ada orang buang di situ dan mungkin perkara ini perlu disiasat bagi membantu menyelesaikan isu pembuangan sampah haram," katanya kepada Sinar Harian.

Hanif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Sinar Alam itu berharap siasatan dilakukan bagi mengetahui punca pembuangan sampah haram berulang.

"Mungkin orang kampung tiada tempat nak buang sampah, jadi masalah ini perlu dibincangkan bersama bagi membantu mereka yang berdepan kekangan itu.

Bagaimanapun katanya tindakan tegas perlu diambil jika pihak terbabit hanya mengambil kesempatan membuang sampah kerana memudahkan mereka.