PENJAGA gol Jerman, Manuel Neuer sudah cergas sepenuhnya untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Macedonia Utara yang menyaksikan kemenangan akan mengesahkan slot gergasi dunia tersebut ke Qatar tahun depan.
Pengendali Jerman, Hansi Flick berkata, Neuer sebelum ini terpaksa disisihkan ketika Die Mannschaft menjinakkan Romania 2-1 di Hamburg akibat kecederaan otot kini mula menjalani latihan yang menyaksikan posisi penjaga gawang Bayern Munich itu diganti penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.
"Saya menjangkakan akan dapat menggunakan semula khidmat Manuel menjelang perlawanan menentang Macedonia Utara," kata Flick.
Pada masa ini Flick tidak berdepan masalah kecederaan dalam kalangan pemain lain dalam misi pasukan tersebut melakar kemenangan kelima dalam lima perlawanan selepas mengambil alih pasukan tahun ini.
"Sebenarnya kami berada di landasan terbaik, biarpun masih terdapat beberapa perkara yang belum 100 peratus sempurna. Namun kami berada di landasan tepat untuk ke kejuaraan berprestij bola sepak dunia," ujar Flick.
Juara dunia empat kali itu sebelum ini dikejutkan dengan penyingkiran pada peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018 Rusia dan Pusingan 16 Terbaik Euro 2020, akan mengesahkan laluan ke Qatar dengan berbaki tiga perlawanan sekiranya menang di Skopje manakala Armenia keciciran mata ketika berdepan Romania.
Untuk rekod, Jerman kini memimpin Kumpulan J dengan 18 mata diikuti Macedonia Utara dan Armenia masing-masing dengan 12 mata yang berbaki tiga perlawanan.
Macedonia Utara yang mengejutkan Jerman 2-1 di Duisburg pada Mac, kini terdesak untuk memenangi perlawanan bagi menghidupkan peluang mara ke Qatar.
"Saya tidak akan melihat kepada kekalahan sebelum ini (ketika Jerman di bawah kendalian Joachim Loew), kami kini mempunyai falsafah tersendiri dalam membawa pasukan Jerman bermain secara bersama, aktif. Kami mahu menang seterusnya layak segera ke Piala Dunia," ujarnya.