SHAH ALAM - Sepasang suami isteri berasa teruja sebaik mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran rentas negeri.
Pekerja swasta, Abd Razak Mohd Ali, 58, berkata, kerinduan terhadap tiga anak mereka yang berada di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang tidak pulang lebih setahun lalu bakal berakhir.
Menurut Abd Razak, kesemua anaknya yang berusia 27, 28 dan 31 tahun terus menghubungi mereka sebaik mendengar pengumuman tersebut dan segera menyatakan mahu pulang dalam tempoh terdekat.
"Saya dan isteri, Bariah Abdullah, 57, gembira mendengar berita itu tetapi isterilah yang paling teruja.
"Penantian lebih setahun akan berakhir apabila kami dapat bertemu semula Radzif Bukhary, 31, Rosesyafiqa Baiduri, 28, dan Redza Haziq Bukhary, 27, dan tidak lupa dua menantu kami.
"Malah, Rosesyafiqa Baiduri akan bergerak balik kampung pada tengah malam ini setelah majikan memberinya cuti selama dua hari,” katanya di sini pada Ahad.
Abd Razak berkata, ketiga-tiga anaknya sudah tentu rindukan masakan air tangan ibu mereka lebih-lebih lagi dua menantu yang sedang sarat mengandung.
"Anak-anak sudah pesan pelbagai jenis masakan ibu mereka seperti masak lemak, lontong, asam pedas dan sambal tempoyak.
"Isteri saya sudah tentu lebih gembira lagi dan tidak sabar memasak makanan kegemaran anak-anak. Perasaan ketika ini lebih gembira berbanding hendak sambut hari raya,” katanya.
Bagaimanapun, Abd Razak berkata, dia tetap berpesan kepada anak-anaknya supaya melakukan ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen secara kendiri sebelum balik kampung.
"Mereka sendiri ada kit ujian Covid-19 itu. Walaupun teruja dan sudah lengkap vaksin, perkara yang disarankan kerajaan itu tetap tidak boleh diabaikan,” katanya.
Sementara itu, di ALOR SETAR, pengumuman kebenaran rentas negeri mulai hari ini diibaratkan seperti pengumuman hari raya buat Siti Aminah Abdul Rahman.
Menurut Siti Aminah, anak kelimanya, Nor Aishah Abdullah, 30, dan keluarganya dijangka pulang ke Kedah pada minggu hadapan bergantung kepada cuti yang diluluskan majikan mereka.
Siti Aminah, 66, berkata, dia tidak sabar untuk memasak laksa beras dan nasi daging kegemaran anak dan menantunya yang tinggal di Kuala Lumpur.
"Rasa gembira itu macam tunggu anak cucu balik beraya.
"Apatah lagi kali terakhir saya bertemu dengan mereka sekeluarga adalah pada penghujung Mac lalu ketika Aishah pulang berpantang selepas melahirkan anak kedua.
"Cucu yang kedua itu pun sudah lama saya tak tengok secara berdepan cuma melalui panggilan video sahaja, tak sabar nak tunggu peluk depan-depan,” kata ibu kepada lapan anak dan 12 cucu itu.
Siti Aminah berkata, walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, namun dia yakin keselamatan mereka sekeluarga terjamin.
"Kami sekeluarga pun dah lengkap divaksin jadi insya-ALLAH kita doa dan fikir yang baik-baik, ALLAH akan lindung,” ujarnya.
Di TEMERLOH, keputusan kerajaan yang membenarkan aktiviti rentas negeri bermula pada Isnin nyata menggembirakan ibu bapa di kampung.
Muhammad Salleh Jarab, 55, dari Kampung Batu Kapor, Mentakab adalah antara bapa di seluruh negara yang setia menanti kepulangan anak masing-masing yang berada di negeri lain atas tuntutan tugas.
Bapa kepada enam anak itu mengakui terharu dan gembira dengan keputusan itu dan menyifatkan penantian sekian lama untuk bertemu anak-anak akhirnya berakhir.
"Bila dengar pengumuman itu, perasaan bercampur baur, rasa sebak pun ada dan pada masa sama gembira kerana dapat bertemu dengan anak-anak.
"Malah anak sulung yang bekerja di Shah Alam, Selangor sudah memberitahu dia dapat cuti dan akan pulang bulan depan.
"Walaupun masih lama lagi, janji dia boleh balik kampung,” katanya.
Muhammad Salleh berkata, kali terakhir anak sulungnya itu pulang ke kampung adalah pada tahun lalu.
Azahari Othman, 57, dari kampung sama menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai satu detik yang ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya ibu bapa yang sudah lama tidak dapat berjumpa anak mereka akibat pandemik Covid-19.
"Dua anak lelaki saya bekerja di Kuala Lumpur. Memang setakat ini tiada persediaan khusus untuk menyambut mereka, cuma salah seorang anak sudah beritahu akan pulang Selasa ini.
"Seronok memang seronok tetapi dalam kegembiraan kita perlu ambil langkah berjaga-jaga selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” ujar bapa kepada lima anak itu.