‘Mereka tidak berhajat untuk tewas’

Iklan
Ahmad Faizal

PEMINAT sukan di negara ini tidak sepatutnya mengecam dan melontarkan komen negatif terhadap atlet yang menampilkan aksi kurang memuaskan dalam kejohanan atau perlawanan yang dihadapi mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia dikhuatiri akan menjatuhkan moral atlet negara sekali gus gagal bangkit dalam menghadapi kejohanan yang akan datang.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, banyak perkara yang perlu diperbaiki. Namun, sebagai peminat, saya secara peribadi tidak mahu kekalahan ini dikecam sehingga mereka tidak dapat bangkit semula.

"Kita juga sekarang ini baru lepas dihimpit dengan kesusahan yang begitu teruk akibat Covid-19. Ramai antara kita perlu bangkit semula, begitu juga dengan rakan-rakan yang telah tewas dalam pertandingan.

Iklan

"Kita kena terus beri dorongan dan sokongan agar mereka dapat kembali bangkit untuk mengharumkan nama negara,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah di A’Famosa Resort pada Ahad.

Pada Sabtu, skuad badminton negara mencatatkan kekalahan 1-4 kepada Denmark dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Ceres Arena, Aarhus Denmark.

Iklan

Sementara skuad Harimau Malaya pula menampilkan aksi longlai tewas dua perlawanan persahabatan kepada Jordan 0-4 dan kepada Uzbekistan 1-5 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, pada Rabu dan Sabtu.

Prestasi kurang memberangsangkan skuad badminton dan Harimau Malaya itu mengundang rasa tidak puas hati netizen yang melontarkan pelbagai kecaman serta komen ‘kurang enak’ di laman sosial.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengharapkan kekalahan yang dialami skuad badminton dan Harimau Malaya itu dapat dikaji sekali gus meningkatkan kembali persembahan pasukan negara.

"Memang betul kita tidak boleh lagi kata ini bukanlah medan sebagai percubaan atau medan menguji pemain. Jika kita pergi (ke sesuatu kejohanan) kita mesti pergi dengan persiapan rapi dan beri yang terbaik.

"Bagi saya, mereka tidak berhajat untuk tewas. Mereka telah cuba sedaya upaya, namun kekalahan ini perlu cari sebab kenapa prestasi kita agak rendah daripada pihak lawan dan perbaiki lagi.

"Walaupun kecewa dengan kekalahan ini, saya akan terus memberikan sokongan kepada semua atlet yang bertanding,” katanya.