"ENCIK sudah scan (imbas) MySejahtera di luar tadi sebelum masuk kedai? Boleh saya tengok status MySejahtera? Encik sudah cukup dua dos vaksin?Itu adalah antara soalan popular yang sering kita dengar sejak akhir-akhir ini. Boleh dikatakan semua premis yang kita mahu masuk, pekerja akan bertanya soalan yang sama. Lebih tegas lagi sekiranya nak dine in, sampai nak ambil order pun masih tanya lagi.
Itulah yang kita sering hadapi. Kehidupan yang penuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terus mengekang Covid-19.
Bukannya menyusahkan tetapi lebih kepada hendak memastikan kita semua selamat walaupun telah lengkap dengan dua dos vaksin.
Mungkin selepas selesainya fasa pandemik, tidak mustahil kita akan terus hidup dengan SOP kerana kita akan memasuki fasa endemik pula, sebagaimana gambaran yang telah diberikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini.
Kesedaran rakyat juga meningkat untuk mendapatkan vaksin yang diberikan kerajaan, tak kiralah sama ada Pfizer, Sinovac, AstraZaneca atau yang lain. Semua orang mengambil suntikan sebagaimana yang disarankan pihak kerajaan.Ya, vaksin bukan satu kewajipan yang dikenakan kepada rakyat Malaysia tetapi ia adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat bagi membantu kerajaan mengekang Covid-19 daripada terus menghantui kehidupan kita.
Vaksin bukan menghalang kita daripada terkena jangkitan Covid-19 tetapi kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerima vaksin, kata pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar.
Peranan vaksin Covid-19 bukan untuk memastikan penerimanya tidak lagi dijangkiti virus, sebaliknya bagi memastikan tubuh badan memiliki sistem imunisasi yang kuat.
Persepsi kononnya pengambilan vaksin akan memastikan penerimanya tidak lagi dijangkiti virus Covid-19 adalah salah faham.
Vaksin bukan tiket untuk bebas bergerak tanpa menghiraukan SOP!
Namun, terfikir juga dengan nasib kumpulan antivaksin bagi menghadapi kehidupan mendatang yang penuh SOP pada hari ini.
Apakah masalah mereka hinggakan menolak pengambilan vaksin Covid-19? Adakah hanya vaksin berkenaan Covid-19 sahaja atau semua vaksin sekali?
Satu lagi, adakah anak-anak mereka tidak diberikan vaksin sejak lahir atau vaksin separuh-separuh sahaja.
Sudahlah menolak pengambilan vaksin satu bab, paling mengecewakan tanpa berselindung pula, mereka cuba mempengaruhi orang lain untuk bersama antivaksin.
Sedih dan kecewa! Ada yang mempertahankan kumpulan berkenaan -"Vaksin adalah hak asasi, kenapa perlu halang mereka menjalani kehidupan seharian.”
Tetapi mereka tidak sedar dengan hak asasi kumpulan yang divaksin. Mereka akan terdedah dengan jangkitan baharu, mungkin daripada antivaksin.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Keluarga Malaysia sudah boleh merentas negeri dengan syarat cukup dua dos vaksin.
"Kita sudah boleh balik kampung, tetapi tidak bebas sepenuhnya dan patuhi SOP,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, walaupun kemungkinan tiada lagi sekatan jalan raya di pintu-pintu negeri tetapi SOP MKN tidak akan dikecualikan kepada sesiapa sahaja.
Pengumuman itu sekali gus membuka sektor pelancongan tetapi sekatan masih dikenakan kepada pelancong di mana-mana premis yang mensyaratkan dua dos vaksin untuk akses.
Keputusan tersebut juga membuatkan kumpulan antivaksin tersisih dengan sendiri akibat enggan mengambil sebarang dos tanpa alasan.
Terima kasih Perdana Menteri. Bye bye antivaksin, kami nak balik kampung dah!
* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Produser Sinar Harian