KEKURANGAN simpanan hari tua bukanlah perkara baharu yang sering diperkatakan semua pihak. Malah, isu itu telah mula didengari sejak puluhan tahun lagi.
Namun, isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan bahawa seramai 43 peratus atau 5.38 juta ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun satu.
Jawapan mudah kepada persoalan itu adalah berpunca kerana gaji minimum negara ini yang sangat rendah.
Ketika sebelum Covid-19 pun, kita telah dicengkam dengan harga makanan yang mahal, pasaran pekerjaan tidak menentu dan kekalutan politik negara yang tidak habis-habis.
Dan apabila terjadinya pandemik pada awal tahun 2020, keadaan semakin runcing apabila ramai mengeluarkan simpanan untuk membeli keperluan asas.
Ia berikutan ratusan ribu individu kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan akibat penutupan beberapa sektor ekonomi.
Bagi penganalisis, banyak persoalan yang perlu dirungkai sebelum memperkatakan isu simpanan rendah.
Antaranya, isu pertumbuhan pendapatan yang lambat atau pendapatan isi rumah yang rendah, peningkatan hutang isi rumah dan juga harga rumah yang tinggi.
Jika ini dapat dirungkai atau diselesaikan secara berperingkat dengan langkah efektif seperti peluang pekerjaan serta ruang kenaikan gaji yang realistik, mungkin isu simpanan rendah boleh diatasi secara perlahan-lahan.
Inilah antara perkara pahit yang perlu kita atasi bersama kerana ketidakpadanan gaji pekerja dan kos sara hidup.
Kerajaan bersungguh-sungguh dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan mentransformasikan pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar.
Jika berjaya iaitu merapatkan jurang pembangunan dan jurang pendapatan yang ketara, ia dapat meningkatkan taraf hidup isi rumah B40, sekali gus mungkin memperbaiki tahap simpanan ke arah yang lebih baik untuk masa depan.