TEMERLOH - Peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pahang bermula Jumaat jelas memberikan kelegaan buat pengusaha perkahwinan setelah lebih dua tahun mereka kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Pemilik Butik Pengantin Aida di Mentakab, Rohaida Othman, 50 mengakui dia sudah terfikir untuk menutup operasi perniagaannya jika sektor itu masih belum dibenarkan beroperasi sehingga hujung tahun ini.
"Sememangnya saya ada niat untuk tutup daripada terus menanggung lebih banyak kerugian. Macam mana nak bayar sewa kedai sedangkan duit asyik keluar, malah pekerja pun terpaksa diberhentikan.
"Malah saya juga menawarkan pakej perkahwinan yang jauh lebih murah dengan pakej serendah RM500 untuk terus bertahan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, pengumuman kerajaan bahawa Pahang beralih ke Fasa 4 PPN pada Rabu lalu sememangnya ditunggu-tunggu buat pengusaha butik perkahwinan sepertinya.
"Syukur, sejak beberapa hari ini, saya sudah mula menerima tempahan dan berharap situasi positif ini akan berterusan selain terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," jelasnya yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam perniagaan butik perkahwinan itu.
Bagi pemilik Galeri Perkahwinan Sharifah Andaman, Sharifah Salehan, 60 pula berkata, pendapatannya turut terjejas teruk berbanding sebelum pandemik.
Menurutnya, peralihan ke Fasa 4 PPN memberikan kelegaan buat dirinya yang kini hanya bergantung dengan simpanan sedia ada untuk terus bertahan.
Sharifah yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu mengakui terpaksa memulakan perniagaan makanan dengan menjual nasi ambeng secara tempahan, hantar dan bayar untuk terus bertahan.
"Saya bersyukur perniagaan nasi ambeng ini mendapat sambutan daripada baik pelanggan.
"Alhamdulillah saya sudah terima tempahan pelanggan walaupun bukan pakej yang utama, besar berbanding sebelum ini," tambahnya.
Dalam pada itu, bagi pemilik Rienzz Boutique & Services di Desa Damai, Bentong, Noor Shadatul Azreen Saadon, 30 turut meluahkan kelegaan apabila butiknya mula mendapat tempahan daripada pelanggan.
"Saya memang ada lihat rakan-rakan yang lain ambil tindakan dengan menutup dan jual barang-barang butik mereka.
"Bagaimanapun, saya tidak berbuat demikian sebaliknya beralih bidang perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran kejutan untuk menambah sumber pendapatan," katanya yang baharu lebih dua tahun dalam perniagaan itu.
Bagi pengusaha Iqbal Catering, Ubaidah Talib, 55 mengakui walaupun Pahang telah beralih ke Fasa 4 PPN, namun pelanggan masih memilih untuk mendapatkan sajian makanan secara bungkus berbanding jamuan secara hidang sebagaimana sebelum negara di landa pandemik Covid-19.
"Mungkin mereka (pelanggan) belum berani untuk mengambil risiko untuk mengadakan jamuan jadi mereka pilih supaya makanan dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai.
"Walaupun tidak sebanyak dahulu namun kami bersyukur kerana sudah mula menerima tempahan," ujarnya yang telah enam tahun dalam bidang katering.
Sementara itu, pengusaha Sungai Lui Canopy dari Raub, Mohd Kamil Mohd Diah, 32 mengakui sewaan kanopi bagi mengadakan jamuan perkahwinan mahupun majlis-majlis rasmi lain terjejas teruk sepanjang pandemik Covid-19.
"Buat masa ini kita masih belum terima tempahan sewaan kanopi untuk majlis perkahwinan setakat ini.
"Bagaimanapun untuk majlis-majlis atau program lain, kami sudah mula sibuk terima tempahan pelanggan awal bulan ini," katanya.