KOTA BHARU - Pas membuat pilihan untuk bekerjasama dengan parti yang rosak dan terpalit isu rasuah yang luar biasa, demikian menurut Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, PH tidak kisah sekiranya Pas mahu menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti di negara ini.
"Terpulang kepada mereka, tapi saya pelik mengapa Pas sanggup 'kutip' UMNO selepas parti berkenaan ditolak oleh rakyat ketika PRU14 lalu.
"Lebih-lebih lagi dengan isu kerakusan segelintir pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan isu rasuah,” katanya, selepas Majlis Jamuan Teh bersama Majlis Pimpinan PKR Negeri, petang tadi.
Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Kelantan (MTNg) dijangka berada di Kelantan selama tiga hari bermula hari ini, sempena lawatan kerja dan mempengerusikan mesyuarat MTNg pertama, esok.
Beliau berkata, antara agenda yang akan dibangkitkan ialah membantu pembangunan rakyat di Kelantan.
Berdasarkan dasar baharu PH, beliau berkata, tiada negeri di anak tirikan malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri meluahkan hasrat agar pembangunan negeri diperkasakan seperti yang terkandung dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11.
Selain itu, pihaknya akan mengenal pasti beberapa pembangunan yang perlu disegerakan supaya infrastruktur dan prasarana di Kelantan dapat terus dibangunkan sekaligus menarik pelabur dalam mewujudkan pekerjaan di Kelantan.