Tite kagum aksi Neymar

Iklan
Penyerang Brazil, Neymar (tengah), dikawal ketat pertahanan Colombia pada aksi kelayakan berkenaan. - Foto EPA

PENGENDALI Brazil, Tite kagum dengan aksi dipamerkan tonggak serangan, Neymar biarpun skuad kendaliannya itu sekadar terikat tanpa jaringan ketika berdepan Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 CONMEBOL, pada Isnin.

Menurut Tite, Neymar telah beraksi dengan baik pada perlawanan berkenaan dan sekali gus memberikan khabar gembira buat dirinya bagi mengharungi baki perlawanan bagi aksi kelayakan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Neymar ternyata bukan pemain yang biasa-biasa, dia seorang pemain yang luar biasa dan istimewa dalam skuad Brazil.

"Kita semua sedia maklum mengenai perkara ini dan ini dibuktikan menerusi kawalan daripada pihak lawan terhadapnya.

Iklan

"Dia juga sering diberikan kawalan ketat oleh benteng pertahanan lawan dan malah adakalanya ia memerlukan lebih daripada seorang pemain pertahanan bagi mengawal pergerakannya,” katanya.

Keputusan seri itu turut menyaksikan Colombia berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Brazil dalam sembilan aksi kelayakan berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, Brazil tetap mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu aksi kelayakan berkenaan dengan 28 mata, manakala Colombia berada pada kedudukan kelima dengan 15 mata.

Untuk rekod, empat pasukan teratas pada aksi kelayakan berkenaan akan mengesahkan slot automatik ke saingan Piala Dunia Qatar 2022, manakala pasukan tempat kelima akan melalui saingan play-off dalam usaha mengesahkan slot ke kejohanan berprestij berkenaan.

Sementara itu pengendali Colombia, Reinaldo Rueda menyifatkan pasukannya telah beraksi dengan baik biarpun tanpa tonggak tengah, Juan Guillermo Cuadrado.

"Secara keseluruhannya, Brazil adalah pasukan yang kuat. Mereka telah mencatatkan kemenangan pada kesemua sembilan perlawanan pada aksi kelayakan kali ini.

"Oleh itu, kami melihat keputusan ini sebagai sesuatu yang positif dan optimis untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya.