KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen blok pembangkang bersama National Oversight & Whistleblowers (NOW) menuntut agar pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dibuat segera.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu perlu bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat dalam bentuk sesebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti.
Beliau berkata, selain itu ia juga bertujuan untuk menjamin hak perlindungan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam.
"Pindaan yang dibuat haruslah berteraskan tiga perkara utama, pertama adalah memperkasakan peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Sebagai contoh, pendedahan maklumat kepada pihak media.
"Kedua, menjamin hak perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat, manakala yang ketiga, menjamin imuniti dan kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2020 daripada undang-undang lain yang berkaitan Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
Turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah turut menyentuh mengenai isu Kertas Pandora yang hangat dibangkitkan ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat ketika ini.
Jelasnya, pendedahan yang dibuat media mengenai isu tersebut adalah sesuatu yang baik dan sewajarnya perkara itu dibahaskan secara terbuka.
Pada Isnin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendesak supaya isu Kertas Pandora dibahaskan selepas usul yang di bawa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditolak pada Rabu lalu.
Azhar menolak usul dicadangkan oleh Anwar bagi membahaskan mengenai pendedahan Kertas Pandora di Dewan Rakyat selepas mendapati ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan di Dewan Rakyat didahulukan dengan aturan mesyuarat.
Sehubungan itu, Azhar mencadangkan agar Anwar menggunakan prosedur lain untuk membincangkan isu tersebut termasuk menerusi soalan menteri, soal jawab lisan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sejak 25 tahun lalu.
Antara individu dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.
Pendedahan yang dibuat melibatkan hampir 12 juta fail itu turut mendapati sebanyak 118 firma luar pesisir yang sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik yang berasal dari Malaysia.