PETALING JAYA - Audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang menyuarakan kerisauan terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan komentar biasa dan bukannya agenda baharu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas sentiasa terbuka dan menghormati perbezaan pandangan yang disuarakan oleh ahli parti.
"Kita rasa, ini hanya komentar biasa dan bukan satu agenda baharu. Kita terbuka dan proses demokrasi dalam parti berjalan. Kita ada pemilihan pada tahun ini dan akan diteruskan.
"Malah sekarang ini telah ada mesyuarat berlangsung di peringkat cawangan sehingga bulan depan mengikut kawasan. November nanti kita adakan mesyuarat di peringkat pemilihan.
"Jadi tidak ada isu. Dalam Pas, kalau sesiapa (guna) kempen (dengan cara begitu), akan kalah," katanya ketika sidang akhbar majlis pemeteraian kerjasama bagi pengambilalihan sistem pembentungan awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang berlangsung di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Sabtu lalu, tular audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Abdul Hadi.
Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, petugas dan jentera Pas diminta untuk mengekalkan undi kepada parti yang memenangi kerusi tersebut sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijalankan.
Beliau berkata, cadangan tersebut dibuat demi mencari keharmonian dalam kerjasama politik dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Kita akan minta jentera parti, petugas Pas dan pengundi untuk kekalkan undi kepada parti yang memenangi kerusi tersebut.
"Dengan cara ini, kita akan mengharmonikan situasi itu. Kerusi-kerusi lompat dan kerusi yang belum kita menang, sepatutnya itu jadi fokus.
"Bukan kepada kerusi yang kita menang, sepatutnya gerak kerja sepatutnya pergi kepada kerusi yang belum dimenangi," jelas beliau.