'Kedai runcit' percuma

Iklan
Wan Hasni membantu Nicole menyusun bekalan keperluan dapur di Kedai Muhibah sempena program pelancaran bakul makanan di Kedai Muhibah Bukit Kepayang pada Isnin.

SEREMBAN - Golongan M40 yang terjejas semasa pandemik Covid-19 dialu-alukan datang ke Kedai Muhibah Bukit Kepayang di sini untuk mengambil barang keperluan secara percuma.

Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nicole Tan berkata, ramai golongan M40 yang kini menjadi B40 sehingga memerlukan bantuan akibat sumber pendapatan mereka terjejas.

Iklan
Iklan

"Saya ada terima kes di mana seorang wanita M40 yang dulu kerja sebagai seorang pensyarah, namun disebabkan pandemik Covid-19 ini, kolejnya ditutup sementara dan dia tidak diberi gaji.

"Wanita itu datang kepada saya dan meminta bantuan pekerjaan dan dia sanggup bekerja sebagai pembersih kedai untuk menampung keluarga.

Iklan

"Tetapi setelah Negeri Sembilan memasuki Fasa 3 (Pelan Pemulihan Negara), dia kemudiannya dipanggil semua bekerja sebagai pensyarah dan dia sangat berterima kasih kerana diberi peluang untuk mendapatkan gaji tanpa memilih pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pelancaran bakul makanan di Kedai Muhibah Bukit Kepayang di sini pada Isnin.

Iklan

Majlis disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof yang juga Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat, Pegawai Kanan Negeri Sembilan dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, kata Nicole, kejadian seperti ini menunjukkan bahawa semua masyarakat di pelbagai lapisan turut sama terjejas semasa pandemik ini, bukan hanya B40 tetapi mereka yang M40 juga menerima nasib yang sama.

Dalam pada itu, Wan Hasni turut mengucapkan tahniah kepada Nicole yang bertungkus lumus membuka Kedai Muhibah dan menyediakan bekalan makanan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, idea menarik ini telah menjadikan konsep bakul makanan seperti sebuah kedai runcit yang menyediakan pelbagai barangan dapur, tetapi tanpa bayaran.

"Kita berharap bantuan seperti ini akan diteruskan sampai bila-bila dan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama," katanya.

Kedai Muhibbah, 'One Stop Centre' ini diadakan atas inisiatif Nicole yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang bagi membantu golongan yang memerlukan.

Setiap hari pelbagai jenis keperluan harian dan pakaian percuma turut disediakan bagi memastikan keperluan tersebut tidak terputus.

Orang ramai boleh mengambil apa sahaja yang mereka suka secara percuma mengikut keperluan masing-masing.

Bukan sahaja pakaian, pelbagai keperluan dapur seperti gula, tepung, susu dan juga sayur-sayuran turut disediakan secara percuma.

Kedai ini beroperasi bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang.