KUALA LUMPUR - Kebenaran rentas negeri bermula hari ini memberi kelegaan kepada pengusaha bas, namun di sebalik itu mereka bimbang dengan bebanan kos penyelenggaraan.
Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM), Che Ibrahim Che Ismail berkata, kebanyakan pengusaha masih tidak dapat menyediakan bas masing-masing untuk memulakan operasi pada Isnin kerana banyak yang perlu diselenggara memandangkan kenderaan itu lama tidak bergerak.
"Antara kos yang dihadapi pengusaha ialah untuk menyelenggara pendingin hawa, mengganti bateri dan insurans kenderaan. Kami memerlukan di antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap bas sebelum ia dapat beroperasi.
"Selagi kami tidak dapat menyiapkan kenderaan, kami belum boleh beroperasi dan mungkin akan terkubur terus walaupun rentas negeri telah dibenarkan,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan jika bas dapat disiapkan dengan segera ia boleh membantu meningkatkan pendapatan pengusaha sekali gus menjamin keselamatan penumpang.
Menurut Che Ibrahim, rata-rata pengusaha bas terutama di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, dan Kelantan, hanya dapat menyediakan 20 hingga 30 peratus kapasiti kenderaan kerana kekurangan modal untuk menyediakan kenderaan mereka, sebelum kembali beroperasi.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap menerusi Bajet 2022, kerajaan dapat memberi bantuan dari segi geran atau pinjaman modal pengoperasian, bagi memastikan kenderaan dapat disediakan sepenuhnya sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan serta pergerakan orang awam menggunakan kenderaan awam (bas ekspres dan bas sekolah).
"Kebanyakan rakyat lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri bagi tujuan rentas negeri mahupun melancong, mungkin selepas ini Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh memberi penekanan dan kesedaran tentang keselamatan serta kelebihan menggunakan kenderaan awam untuk melancong atau merentas negeri,” katanya. - Bernama