Nelayan Vietnam ditahan menangguk gamat di perairan Kelantan

Iklan
Anak kapal yang berada diatas bot berkenaan.

PASIR PUTEH – Cubaan sekumpulan enam kru dan tekong warga Vietnam menangguk gamat di perairan Kelantan berjaya digagalkan apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, semasa melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Damai, anggota Maritim Malaysia berjaya mengesan kehadiran bot nelayan asing berwarna biru itu pada jam 6.30 petang.

Iklan
Iklan

"Bot berkenaan dipercayai sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan. Menyedari dihampiri bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut cuba meloloskan diri dengan menuju ke sempadan perairan Thailand.

"Selepas lebih 30 minit mengejar, anggota geledah daripada bot penguat kuasa berjaya menaiki bot tersebut melalui bahagian belakang bot nelayan itu dan seterusnya berjaya menghentikan dan menahan bot kira-kira jam 7 malam.

Iklan

"Nilai rampasan termasuk bot, gamat lebih kurang 40 kilogram, bahan bakar diesel lebih kurang 1,200 liter dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM350,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, bot berkenaan yang ditahan 3.1 batu nautika dari sempadan perairan Thailand itu merupakan bot nelayan asing yang dinaiki enam anak kapal dan tekong warga Vietnam berusia antara 23 hingga 50 tahun.

Iklan

Beliau berkata, kesemua mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

"Bot dan kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan selanjurnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 16(3) akta sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

"Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap anak kapal.

"Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan. Tekong dan kesemua anak kapal berkenaan telah disahkan negatif Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.