Sulaiman ketuai kerajaan sementara Melaka

Iklan
Sulaiman Md Ali

MELAKA - Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sedia ada, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kamel berkata, ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.

Iklan
Iklan

Pembentukan kerajaan sementara itu adalah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lepas.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman yang mengetuai kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

Iklan

Kamel berkata, walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

"Dalam hal ini, kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam

Iklan

"Bagi maksud itu, kerajaan sementara boleh mengambil tindakan-tindakan iaitu menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi; mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"... Meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada iaitu peruntukan kewangan baginya telah disediakan; membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh DUN seperti Belanjawan tahun semasa,” katanya.

Kamel selain itu berkata, kerajaan sementara boleh mengadakan dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan negeri.

Dalam kenyataan berasingan, Kamel berkata, kerajaan negeri menafikan dakwaan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan yang dibuat oleh MMKN memandangkan ia adalah muktamad dan keputusan bersama.

"Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan dakwaan keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran kerajaan negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

"Adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat," katanya.

Kamel berkata, pentadbiran kerajaan negeri Melaka juga memandang serius tohmahan Idris bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan, sebaliknya sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat negeri Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri Melaka juga ingin memaklumkan bahawa setiap ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan 'untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN'.

"Dalam hubungan ini kerajaan negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang," katanya. - Bernama