SHAH ALAM - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor diumumkan sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat oleh UMNO
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju agar Ramli dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
"Ini suatu sejarah, sebagai orang asli yang pertama dicalonkan hari ini (Isnin). Hari ini merupakan hari akhir untuk cadangan nama, sebelum sidang Parlimen 25 Oktober 2021,” katanya.
Ismail Sabri sebelum ini dilapor mencadangkan Ahmad sebagai calon tunggal bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan tersebut.
Menurut beliau, pendirian itu dibuat bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.